Malaysia Dateline

Jangan merempat tanpa seurat benang kehormatan, kata ulama Pas

Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama Pas, Mokhtar Senik mengingatkan agar usah dipalu gendang perang dan pergaduhan ketika semua orang sedang tenang dan damai dengan ikatan persaudaraan.

Berkongsikan paparan berita kenyataan Pengarah Pilihan Raya Umno, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, Mokhtar menyeru agar menjaga percakapan dan bahasa walaupun itu kenyataan individu yang tidak menggambarkan pandangan keseluruhan parti.

Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat itu berkata, hargailah orang walau sekecil mana pun ia kerana kita tidak selamanya besar.

“Hargailah orang walau selemah mana pun ia, kerana kita tidak selamanya kuat.
Bercakaplah sebagai insan yang kenal bahasa alam yang tidak pernah ada suatu pun yang kekal,” katanya.

Kelmarin, Tajuddin yang juga bekas pesakit Covid-19 itu mengingatkan Pas sebuah parti kecil yang tidak seharusnya masuk campur dalam hubungan antara Umno dan Bersatu.

Tegas Pengerusi Prasarana Malaysia berkenaan, Umno sama sekali tidak akan bekerjasama dengan Bersatu walau apa yang berlaku dan menolak usaha Pas untuk menjadi pendamai.

Reaksi Ahli Parlimen Pasir Salak itu sehari selepas Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menasihati pemimpin Umno, Pas dan Bersatu untuk terus mendukung kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Tuan Ibrahim yang juga Menteri Alam Sekitar itu berkata, partinya mahu melihat “muafakat politik” yang termeterai di bawah PN antara ketiga-tiga parti itu diteruskan sehingga selepas PRU15.

Mengulas lanjut, Mokhtar yang juga pemilik Pondok An- Nuur di Kampung Kuala Penor, Kuantan itu turut mengingatkan belajarlah menghormati orang jika mahu dihormati.

“Jangan sampai ahli keluarga sendiri benci dengan kita. Saat itu kita akan menjadi manusia yang merempat tanpa seurat benang kehormatan yang membalut diri,” tambah bekas Ketua Dewan Ulama Pas Pahang itu lagi.