Jangan minum kopi sebelum shopping! Boleh kering dompet nanti

Oleh MAISARAH AISYA

Bagi golongan wanita, ada sesetengah yang memerlukan kafein untuk melancarkan lagi urusan kehidupan harian mereka.

Namun menurut kajian, individu yang mengambil minuman berasaskan kafein sebelum keluar rumah adalah lebih cenderung untuk boros semasa membeli-belah.

Menurut Metro, individu ini akan berbelanja pada barangan yang memberi kegembiraan dan menyenangkan mereka termasuk potensi memesan makan malam mewah.

Selain itu, kafein boleh mengurangkan kawalan diri ketika berbelanja sehingga cenderung membelanjakan duit untuk percutian.

Jelas kajian tersebut, meminum kopi menjadikan individu lebih cenderung untuk berbelanja banyak daripada yang dijangka selain melakukan pembelian lebih impulsif.

“Mereka yang tidak minum kopi sebelum membeli-belah pula berbelanja secara berhemah dengan membeli barangan yang perlu seperti alat tulis dan peralatan dapur,” ujar laporan itu.

Para penyelidik juga mengkaji tabiat perbelanjaan sukarelawan yang diberi minuman sebelum keluar membeli-belah. Minuman tersebut termasuk berkafein, tanpa kafein dan air.

“Ternyata kumpulan individu minum kopi berkafein berbelanja lebih tinggi dan membeli banyak barangan berbanding mereka yang mengambil minuman tanpa kafein dan air,” tambah laporan tersebut.

Baca juga: Setahun berumah dalam kereta dek hutang RM1 juta, rupanya bukan hutang bank tapi ada kisah lain orang tak tahu…