Malaysia Dateline

Jangan mudah gunakan hadis Nabi untuk sokong tindakan politik

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin meminta semua pihak supaya tidak sewenang-wenangnya menggunakan hadis Nabi untuk mencapai apa sahaja yang diidamkan.

Beliau berkata, agama Islam juga akan disalah erti jika tidak berhati-hati menyandarkan hal-hal yang tidak tepat kepada Nabi Muhammad SAW.

“Saya rasa saya perlu memberikan penjelasan tentang hal ini (gunakan hadis Nabi) agar agama Islam tidak disalah faham sekali gus memberi imej tidak baik terhadap Islam.

“Beberapa rakyat Malaysia termasuk dari golongan Muslim dan bukan Muslim bertanya saya adakah benar dakwaan menyatakan Nabi tidak membenarkan orang politik mengisytiharkan harta?

“Bagi yang bukan Islam, mereka nampak seperti begitu kecewa jika Islam mengajar sedemikian, namun Nabi sendiri dalam pentadbiran kerajaannya memastikan para petugas atau pegawai yang dilantik tidak memiliki harta atas salah guna kedudukan.

“Baginda turut menegur harta dimiliki oleh para petugas yang diperolehi dengan cara tidak betul (menerusi hadis yang diriwayatkan Imam al-Bukhari),” katanya.

Beliau mengulas demikian dalam satu kenyataan media hari ini, yang merujuk kepada kenyataan Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, semalam, parti itu menolak usul yang mewajibkan Ahli Parlimen, isteri dan anak wakil rakyat mengisytiharkan harta dengan memetik satu hadis, yang dikatakan melarang individu menghebahkan harta mereka untuk mengelakkan dengki.

Mengulas lanjut, Dr Asri berkata, dalam Islam setiap Muslim diwajibkan membayar zakat mengikut kadar harta yang dimiliki antaranya tanaman, ternakan dan emas (wang).

Katanya, lebih banyak harta dimiliki, maka pastinya lebih banyak kadar yang wajib dibayar dan Ulul Amri (pemerintah) adalah amil zakat bertanggungjawab memastikan siapa yang wajib membayar zakat, melaksanakan kewajipannya.

“Jika agama melarang umatnya mengisytiharkan harta, sudah semestinya Muslim tidak boleh membayar zakat kepada amil zakat kerana itu menyebabkan jumlah hartanya diketahui.

“Maka, dakwaan bahawa Islam tidak membenarkan jumlah harta seseorang diberitahu kepada pihak pemerintah, adalah batil dan tidak berasas,” ujarnya.