Malaysia Dateline

Jangan musnahkan masa depan, pastikan remaja tidak langgar PKP

Anak-anak remaja seusia 15 tahun yang akan menduduki PT3 atau SPM maupun STPM mungkin tidak sedar atau tidak tahu mereka boleh dipenjarakan sekiranya keluar rumah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Lebih menyedihkan remaja-remaja ini menjadi tetamu tembok penjara hanya kerana ‘kesalahan kecil’ sahaja, iaitu keluar rumah tanpa izin atau pun tanpa pengetahuan ibu dan bapa.

Demikian diluahkan oleh Pengarah Komunikasi AMANAH Negeri Pulau Pinang, Dr Zaidi Zakaria.

Di Sungai Siput, Perak, empat lelaki termasuk tiga remaja dihukum sebulan penjara dan denda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret Sungai Siput (U), selepas didapati bersalah melanggar peraturan susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang wabak COVID-19.

Di Port Dickson, dua remaja tidak mengaku bersalah atas tiga pertuduhan berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Mahkamah Majistret Port Dickson, hari ini.

“Tidak dapat dinafikan hukuman penjara akan menjejaskan pembelajaran mereka, terutamanya yang akan menghadapi ujian dan peperiksaan SPM, STPM bahkan mungkin PT3,” kata Dr Zaidi.

Pengakuan itu dibuat kedua-dua tertuduh di hadapan Majistret Siti Huzaifah Abdul Talib sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Bagi Dr Zaidi, anak-anak remaja yang masih bersekolah menengah ini akan tetap didakwa melanggar perintah PKP dan ada antaranya masih lagi berada dibawah kategori juvana.

“Sebagaimana kita sedia maklum melanggar perintah PKP akan didakwa dibawah Peraturan 7(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit(Langkah-langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

“Bagi pertuduhan tersebut, jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali.

“Tidak dapat dinafikan hukuman penjara akan menjejaskan pembelajaran mereka, terutamanya yang akan menghadapi ujian dan peperiksaan SPM, STPM bahkan mungkin PT3,” ujarnya.

Tambah Dr Zaidi lagi, rekod hukuman penjara akan kekal selama-lamanya yang mana tidak disangkal ia boleh menjejaskan masa depan mereka mendapatkan pekerjaan tertentu pada masa hadapan.

Sejajar dengan itu tegas beliau, ibu-bapa harus senantiasa peka dan cakna mengingatkan dan menasihati bagi memastikan anak-anak remaja tidak keluar rumah dan patuh sepenuhnya perintah PKP.