Malaysia Dateline

Jangan nafikan hak golongan muda, kata AMANAH Sarawak

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) diingatkan agar tidak menafikan hak golongan muda dalam menentukan kehendak mereka memilih kerajaan mengikut Perlembagaan Persekutuan yang dipinda.

Menurut Setiausaha Parti AMANAH Negara Negeri Sarawak, Fadillah Sabali, pelaksanaan kelayakan mengundi pada usia 18 tahun jelas akan memberi ruang dan hak kepada golongan berkenaan terlibat dalam proses demokrasi di negara ini nanti.

Justeru, katanya penglibatan pengundi seawal 18 tahun turut membolehkan negara berupaya memenuhi keperluan kumpulan ini demi memastikan kelangsungan dan kesinambungan kemakmuran negara berterusan sehingga ke generasi akan datang.

“Seharusnya golongan belia diberi peluang dan terlibat dalam proses demokrasi di negara ini sekali gus mempersiapkan mereka sebagai pemimpin masa depan dan jangan sesekali cuba menafikan hak itu.

“Ini kerana, penglibatan pengundi seawal 18 tahun turut membolehkan negara berupaya memenuhi keperluan kumpulan ini demi memastikan kelangsungan dan kesinambungan kemakmuran negara berterusan pada masa hadapan,” jelas beliau.

Fadillah menegaskan, pada masa ini golongan yang berusia 18 tahun sudah seharusnya layak dikategorikan sebagai matang lebih-lebih lagi apabila mereka mengetahui situasi politik negara daripada bahan pembacaan yang mudah didapati di medium media sosial.

“Inilah kelebihan golongan muda masa kini kerana mereka cepat nampak matang mengetahui sesuatu termasuk keadaan yang berlaku pada politik negara ketika ini.

“Dengan demikian, saya yakin mereka berupaya memberikan yang terbaik untuk negara jika diberi peluang menentukan masa depan memilih sebuah kerajaan mengikut perlembagaan yang ditetapkan,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) kesal dengan pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menangguhkan pendaftaran pemilih automatik dan kelayakan mengundi pada usia 18 tahun.

Dalam satu kenyataan, Pemuda PBB berkata penangguhan pelaksanaan Undi 18 akan menyebabkan jutaan pemilih yang layak antara usia 18 hingga 20 tahun serta mereka yang berusia 21 tahun ke atas belum mendaftar tertinggal untuk mengundi pada pilihan raya akan datang.

“Kami berharap SPR dapat mempercepatkan Undi 18 agar tepat pada waktunya untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang,” tegas kenyataan itu baru-baru ini.

Ujar kenyataan itu, tambahan pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk menurunkan usia mengundi kepada 18 tahun dan menjadi calon telah diluluskan sebulat suara di Parlimen pada 16 Julai 2019.

Manakala di Sarawak, Rang Undang-Undang untuk meminda Artikel 16 Perlembagaan Negeri bagi menurunkan usia minimum yang diperlukan seseorang untuk menjadi wakil rakyat berumur 21 hingga 18 tahun telah disahkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 12 November tahun lalu.

“Kepentingan dan aspirasi para belia sangat penting untuk melindungi masa depan Sarawak kerana golongan muda mesti dibenarkan menggunakan hak demokrasi mereka mengikut Perlembagaan Persekutuan yang dipinda,” kata kenyataan itu lagi.