Rakaman video yang menarik perhatian orang ramai dibimbangi akan ditonton wanita hamil. Tak pasal pasal, golongan suami terpaksa terjun tasik.
Itu antara komentar bernada seloroh warganet selepas melihat sedutan video yang memaparkan seorang lelaki muda sedang berusaha memetik beberapa tangkai bunga teratai.
Aksinya sedang menggapai tangan ke permukaan tasik yang tidak dinyatakan lokasi itu mengundang reaksi netizen termasuk bimbang akan keselamatan bakal ayah berkenaan.
“Disebabkan bini mengidam makan teratai…” tertera kapsyen dalam video itu.
Turut dikongsikan rupa biji teratai yang berjaya diambil si suami tersebut.
“Video ni sedikit sebanyak mampu mengundang masalah baru kepada bakal ayah yang lain. Kena bini diorang mengidam walaupun tak pernah makan sebab tengok bini lain makan terus jadi mengidam.
“Naya semua laki terpaksa terjun tasik nak dapatkan biji teratai. Naya Pak Samad…😆,” seloroh Abdul Rasyid.
Pelbagai komentar lain juga dilontarkan warganet selain mengingatkan supaya berjaga-jaga memandangkan tempat lembap sebegitu merupakan habitat bagi binatang berbisa.
“Tengok National Geographic, ular sawa suka tempat macam tu. Saya dulu asyik nak makan donut saja masa mengandung, tapi sebab malas nak keluar pagi-pagi cari donut, tidur lagi best… 😅,” kata Anah Mizi.
Dalam masa sama, terdapat juga yang mencadangkan supaya beli sahaja biji teratai yang memang ada dijual di pasaraya.
“Kat Super Econsave, supermarkets, hypermarket banyak jual. Jangan membahayakan diri. Kalau meninggal dunia nanti siapa yang jadi janda, ibu tunggal… Fikir-fikirlah,” nasihat Norhaliza Abd Rahman.
Untuk rekod, bunga teratai (Nelumbium nelumbo Druce) dengan permukaan daun berlilin berbunga wangi manakala bijinya terdapat dalam lubang-lubang.
Bahagian biji teratai yang matang mengandungi banyak zat seperti raffinose, protein, lemak, karbohidrat, kalsium, fosforus dan besi.
Biji teratai dikatakan mampu merawat masalah penyerapan makanan (malabsorbtion), cirit-birit, badan lemah, usus kronik (enteritis kronis), muntah, masaalah keputihan dan perdarahan pada wanita.