Malaysia Dateline

Jangan negara sudah bankrap baru Melayu Islam tersedar ‘harapkan pagar, pagar makan padi’

“Kita tidak mahu suatu hari nanti apabila negara telah bankrap barulah Melayu-Islam menyedari bahawa pemimpin yang mereka pilih umpama harapkan pagar, pagar makan padi dan tatkala itu menyesal sekalipun sudah tiada berguna lagi,” kata Naib Pengerusi AMANAH Negeri Pulau Pinang, Dr Zaidi Zakaria.

Katanya, pemimpin-pemimpin Melayu-Islam dalam negara ini seharusnya sedar bahawa majoriti pemimpin tertinggi parti kaum terbesar dalam negara ini, satu persatu dihadapkan ke mahkamah kerana rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Sejajar dengan itu kata Naib Pengerusi AMANAH Negeri Pulau Pinang, Dr Zaidi Zakaria, memilih mereka yang diketahui tidak layak, amanah, tiada integriti, cekap dan tidak bijaksana hanya semata-mata kerana satu bangsa atau agama kemungkinan besar ianya tergolong dalam kategori assabiyah.

“Di negara membangun mahu pun miskin, politik berasaskan kaum tetap menguasai politik negara dan di negara-negara tertentu kaum majoriti yang menganut agama yang sama akan tetap menguasai politik negara.

“Bersama dengan kuasa politik, kaum, agama juga korupsi berakar umbi merupakan negara yang tercatat mempunyai ranking indeks rasuah tertinggi di dunia.

Jangan negara sudah bankrap baru Melayu Islam tersedar 'harapkan pagar, pagar makan padi'
Pemimpin Melayu Islam yang sedang didakwa di mahkamah kerana penyelewengan dan rasuah

“Sri Lanka sebagai contoh terkini dan mutakhir telah membuktikan betapa rasuah akhirnya mampu menghancurkan sebuah negara dan Malaysia tidak terkecuali mengikuti tradisi umum negara membangun dan miskin tersebut,” ujar beliau ketika dihubungi.

Malah beliau yang juga merupakan Ketua AMANAH kawasan Permatang Pauh turut berkata jelas dan terbukti kini pemimpin parti Melayu-Islam seperti Presiden Umno, mantan Presiden Umno, mantan Setiausaha Agung Umno termasuklAhli Majlis Tertingg serta ramai lagi pimpinan pertengahan dan bawahan mereka terpalit dengan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Sehubungan itu tambahnya, menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 yang akan datang, adalah tidak salah memilih mereka yang terdiri dari satu kaum. dan agama, tetapi haruslah mengutamakan integriti tinggi, cekap dan bijaksana.