Malaysia Dateline

Jangan pacu ‘kuda’ ini hingga mati, kata Khalid Samad

“Jangan pacu kuda ini hingga ia mati.” Itulah bidalan yang digunakan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad ketika menjelaskan apa yang sedang dibuat oleh kerajaan sekarang.

Menurut Khalid, kuda ini umpama kedudukan ekonomi negara sekarang ini.

“Kuda ni dah dipacu sejak 60 tahun lalu. Kita boleh buat cara BN, bagi makan banyak-banyak, suntik steroid padanya, lalu pacu.

“Jika begitu, kuda ni tak kan kekal lama, dia akan mati. Bila mati kita akan merana,” kata Khalid menceritakan tentang kedudukan ekonomi negara sekarang ketika menjadi tetamu dalam rancangan Sila Duduk Jangan Lari di TV Hijrah malam tadi.

Menurut beliau, apabila Pakatan Harapan (PH) mengambil alih negara Mei lalu, kedudukan ekonomi sangat tenat dengan jumlah hutang yang terlalu besar untuk negara seperti Malaysia.

Penonton di studio TV Hijrah bergambar dengan Khalid selepas rancangan secara langsung itu selesai.

Oleh itu, katanya, pimpinan negara sedang berusaha memulihkan ekonomi khasnya mengurangkan bebanan hutang negara itu.

Antaranya dengan mengkaji semula kedudukan projek yang sedia ada termasuk LRT3 dan juga ECRL.

“Kos projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) misalnya diturunkan kepada RM16.63 bilion sahaja iaitu 47 peratus lebih rendah berbanding kos asal RM31.65 bilion,” kata Khalid.

Untuk projek rel pantai timur (ECRL), rundingan yang sedang dibuat juga menampakan hasilnya.

“Misalnya ada laporan yang mengatakan China sudah menawarkan kos projek itu hanya sekitar RM16 bilion sahaja berbanding kos asal yang dipersetujui kerajaan sebelum ini kira-kira RM50 bilion,” katanya.

Ia dilakukan selepas rundingan semula dibuat mengenai projek tersebut, kata Khalid.

Khalid juga memaklumkan, kementerian beliau juga berjaya mendapatkan RM149 juta selepas 23 projek di bawah DBKL dirundingkan semula oleh kerajaan baru.

“Jika ikut cara BN, kita boleh bagi lebih baik lagi kepada rakyat dengan memberikan segala keperluan rakyat dengan segera melalui pinjaman demi pinjaman wang dari luar.

“Tetapi itu tidak akan memberikan kebaikan kepada negara. Kita memerlukan sedikit masa dan sedang berunding untuk menguruskan ini,” katanya.