Seorang lelaki berkongsi satu rakaman video di mana kaki dua orang kanak-kanak dipercayai patah saat bermain gelongsor di sebuah taman permainan.
Menerusi video tersebut terlihat dua orang anak kecil turun dari gelongsor dengan laju sebelum kaki mereka tersekat di tengah perjalanan.
Apabila bangun dari gelongsor, mereka menangis mengadu kesakitan dan berjalan terhencut-hencut sebelum disambut oleh ibu bapa mereka.
Difahamkan, video tersebut berlaku di sebuah taman permainan di negara China dan dimuat turun di aplikasi TikTok sebelum dimuat naik semula di Twitter oleh lelaki berkenaan.
Risau kejadian berulang, pemuda itu mencadangkan ibu bapa untuk mengawasi anak mereka ketika di taman permainan terutamanya gelongsor.
“Aku ada jumpa satu video dari TikTok ni, ada trigger warning atau amaran pencetus, kaki budak patah (ketika) main gelongsor.
“Tapi rasanya baik juga untuk ibu bapa perhatikan kalau-kalau (anak) nak main dekat taman permainan,” ciap @magmalaya di akaun Twitternya.
Rata-rata pengguna media sosial mula berkongsi pengalaman mereka sendiri yang turut ‘tersekat’ saat turun dari gelongsor.
Punca utamanya adalah jenis kasut yang dipakai iaitu tapak getah yang boleh menyumbang kepada kebarangkalian untuk kaki anak-anak tersekat di gelongsor.
“Memang bahaya naik gelongsor pakai kasut sebab getah tapak kasut tu. Aku sendiri pun kena,” komen pengguna bernama Famie.
“Tak ingat dekat mana, rasanya di Petrosains. Mereka bagi kain seperti guni untuk disarungkan di kaki sebelum turun gelongsor,” kongsi pengguna lain.
Baca juga: Tiada lagi rawatan, pemergian kanak-kanak ditangisi kakitangan hospital