Malaysia Dateline

Jangan paksa AMANAH warisi perbalahan dan perbezaan

AMANAH mempunyai prinsip perjuangan dan senantiasa berlapang dada bagi mempertahankan Pakatan Harapan (PH) dengan menunjukkan bantahan kepada kerajaan sedia ada.

Malahan AMANAH juga tidak wajar dipaksa untuk mewarisi apa jua perbalahan dan perbezaan antara parti dan mana-mana pimpinan kerana AMANAH mengutamakan kepentingan serta keperluan orang ramai.

Naib Preseiden AMANAH, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus berkata demikian semasa majlis perasmian Konvensyen AMANAH Negeri Pulau Pinang di Pearl View Hotel, Butterworth semalam.

Jelas beliau, AMANAH mempunyai prinsip dan ia perlu dipegang oleh semua ahli parti bagi memastikan kepentingan dan keperluan orang ramai dapat direalisasikan.

“Sebagai bukti AMANAH dalam apa jua situasi sanggup mengalah dan berundur bagi memastikan PH senantiasa mantap termasuklah dalam beberapa isu melibatkan perbezaan pandangan mahu pun isu negeri Perak ataupun pimpinan tertinggi PH melibatkan Datuk Seri Anwar dan Tun Mahathir.

“AMANAH berlapang dada untuk pertahankan PH dengan mempamirkan bantahan kepada kerajaan kerana kami tetap istiqamah dalam perjuangan serta tidak akan berkompromi untuk menyokong sebuah kerajaan yang telah mengkhianati amanah terhadap rakyat.

“Begitu juga bagi negeri Perak, AMANAH tidak akan menyokong pemimpin yang mempunyai pengkhianatan semasa pentadbirannya seperti apa yang telah berlaku baru-baru ini dan tanggungungjawab kita adalah bagi memastikan tidak berlakunya penyelewengan serta kuasa Raja-Raja Melayu mesti dihormati oleh semua pihak,” ujar beliau.

Tambahnya, AMANAH mampu untuk bekerjasama dengan Istana dan juga PH Plus serta mempunyai keupayaan dalam memperjuangkan kepentingan orang ramai.

Hasanuddin turut mengingatkan semua pimpinan AMANAH diperingkat cawangan, kawasan mahu pun negeri supaya tidak menimbulkan apa jua, persengketaan dan perbalahan dengan rakan-rakan komponen dalam PH.

Sebaliknya kata beliau, apa jua perbezaan tidak harus menjadi penyebab bagi memecahkan atau memisahkan PH kerana target PH menjelang pilihan raya umum yang akan datang adalah amat besar.

Dia juga berkata, AMANAH memperjuangkan sesuatu yang amat luar biasa dan tidak diperjuangkan oleh pihak- pihak yang lain bagi memastikan nasib rakyat mendapat pembelaan yang sewajarnya.

Hadir sama ialah pimpinan Dap dan PKR Negeri Pulau Pinang.