Jangan pandang ringan kesan politik kaum dan agama

Jangan pandang ringan kesan politik kaum dan agama

Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang mengingatkan semua pihak di negara ini agar tidak memandang ringan kesan politik berasaskan kaum, agama dan menyemai ketakutan dalam kalangan rakyat, yang semakin menjadi-jadi selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Jelas beliau, selepas mengalami kekalahan yang tidak diduga pada PRU14 yang lalu, Najib Razak dan Umno kini berusaha melaksanakan agenda politik baharu dengan cuba “meyakini” bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak akan bertahan lama.

Mereka kata Kit Siang, percaya kerajaan baharu PH tidak akan dapat bertahan sehingga tamat tempoh, terlalu rapuh dan akan berpecah, sekali gus membolehkan mereka kembali mengambil alih teraju negara.

“Inilah sebabnya berlakunya peningkatan dalam politk yang menyemai ketakutan, kebencian dan fitnah selepas PRU14 dan ia menjadi semakin bahaya apabila disertai dengan politik ektrem berasaskan kaum dan agama,” tulis beliau dalam blognya.

Katanya, inilah juga sebabnya muncul secara menjadi-jadi tuduhan-tuduhan yang bertujuan mewujudkan ketakutan dalam kalangan orang Melayu bahawa Melayu dan Islam kini terancam hanya disebabkan Menteri Kewangan dan Peguam Negara bukan mereka yang beragama Islam.

Tambah beliau, walaupun perjuangan mereka yang mengamalkan kaedah politik seperti ini tidak akan membuahkan hasil, kesannya sangat berbahaya dan tidak boleh dipandang ringan.

“Rakyat Malaysia perlu terus mendedahkan ahli-ahli politik oportunis yang ganas ini, yang matlamatnya untuk menghancurkan kerajaan PH dan menjadikan Umno-BN kembali berkuasa,” kata beliau.