Malaysia Dateline

Jangan panik, kes Covid-19 mungkin naik mendadak

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar memberitahu kes jangkitan Covid-19 mungkin akan bertambah secara drastik ekoran penularan varian Omicron.

Katanya yang juga Ahli Parlimen Rembau itu, Kementerian Kesihatan akan terus memantau perkembangan semasa dan data terpenting seperti kadar kemasukan ke hospital, unit rawatan rapi (ICU) serta pesakit kategori kritikal.

“Kes akan meningkat, malah berkemungkinan secara mendadak dalam tempoh singkat kerana kita sudah ada Omicron di Malaysia yang mempunyai kebolehjangkitan tinggi.

“Kementerian akan sentiasa pantau data terpenting seperti kemasukan ke hospital, ICU dan pesakit kategori 4 serta 5 kerana kalau kita lihat kes saja, sudah pasti akan risau.

“Malah, ia (kadar kes harian) akan mungkin sampai lebih daripada jumlah yang direkodkan dalam tempoh seminggu lalu.

“Tetapi, kita jangan panik kerana sudah berada di tahap masyarakat terima hakikat Malaysia perlu hidup dengan Covid-19 dan liputan vaksin antara tertinggi di dunia,” jelasnya.

Khairy berkata demikian pada sidang media di Hospital Tunku Azizah (HTA) hari ini.

Dalam masa sama, beliau memaklumkan kementerian sedang melakukan perolehan bagi mendapatkan ubat antiviral Paxlovid untuk kegunaan di Malaysia, khususnya golongan berisiko, rentan dan mempunyai komorbiditi.