Malaysia Dateline

Jangan panik, ‘tenang is good’

Isnin lalu, berlaku apa yang dipanggil sebagai pembelian panik atau panic buying di pasar-pasar raya dan kedai-kedai runcit.

Ada barangan keperluan dilaporkan habis licin di rak. Berlaku perebutan dan kesesakan. Ada yang puas, ada berputih mata.

Semua mahu mengelakkan daripada kehabisan bekalan barangan ketika negara berhadapan dengan penularan COVID-19.

Pembeli-pembeli panik ini tetap mengerumuni pasar-pasar raya meskipun Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin sebelum itu menyeru orang ramai supaya tidak bimbang dengan melakukan pembelian panik.

Mereka tetap membeli meskipun jaminan sudah pun diberikan kerajaan bahawa semua barang makanan mencukupi sepanjang masa di pasaran.

Seperti dilaporkan Malaysiakini, ada yang membuat pembelian selepas dimaklumkan bahawa Muhyiddin akan membuat pengumuman besar berhubung COVID-19 pada malam Isnin tersebut.

Oleh itu, satu persoalan umum, apa sebab orang ramai tetap menjalankan pembelian panik meskipun pihak berkuasa telah meminta agar mereka tidak berbuat demikian?

Paul Marsden, pakar psikologi pengguna dari University of the Arts London memberitahu, jawapan singkat bagi persoalan tersebut boleh ditemui dalam psikologi terapi runcit (retail teraphy), di mana seseorang itu membeli untuk menangani keadaan emosinya.

“Ia adalah mengenai ‘mendapatkan semula kawalan’ dalam dunia yang anda rasa tidak terkawal. Lebih umum, pembelian panik boleh difahami dengan ‘permainan’ tiga keperluan psikologi asas,” katanya seperti dilaporkan CNBC baru-baru ini.

Beliau mengulas trend pembelian panik global ekoran penularan COVID-19.

Tiga keperluan asas ini adalah pertama, autonomi, atau keperluan untuk mengawal, kedua, keterkaitan (relatedness), yang mana didefinisikan Marsden sebagai ‘kita beli belah’ berbanding ‘saya beli belah’, dan ketiga, kecekapan (competence), yang dicapai apabila perbuatan membeli itu menyebab seseorang itu berasa mereka ‘pembeli yang bijak’.

Apa yang membimbangkan, tindakan mereka melakukan pembelian panik dengan membanjiri pasar-pasar raya itu sendiri akan mendedahkan mereka kepada jangkitan COVID-19.

Jangan emosi mengatasi pemikiran kita. Orang ramai perlu mengelakkan daripada membuat perkara yang memudaratkan satu sama lain.

Pihak kerajaan dalam masa sama perlu memperbaiki kelemahan sedia ada. Sistem komunikasi berkesan perlu dilaksanakan untuk mengelakkan perlakuan panik ini daripada berulang.

Pihak kerajaan harus lebih proaktif dalam mengawal impak tindakan susulan rakyat ekoran kenyataan yang dikeluarkan.

Yang terbaru, arahan agar orang ramai mendapatkan kebenaran untuk ke negeri lain juga menyebabkan orang ramai berpusu-pusu ke balai polis. Namun pihak polis telah menarik balik arahan tersebut secara sementara.

Perkhidmatan penting negara

Dalam pada itu, terdapat persoalan berhubung di mana anggota perkhidmatan penting negara boleh menghantar anak-anak mereka, memandangkan taska-taska telah ditutup.

Berdasarkan statistik, terdapat 4,466 taska berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sehingga Januari 2010.

Bagi mereka yang diberikan kebenaran bekerja dari rumah atau work from home, golongan ini juga perlu menghantar anak masing-masing ke pengasuh bagi membolehkan mereka fokus kepada kerja.

Oleh itu, kita mohon pencerahan daripada pihak berkuasa berhubung perkara ini.

Jangan jadi modal politik

Dalam masa sama, isu penularan virus ini memerlukan kerjasama semua pihak dari semua latar belakang politik, agama dan kaum. Tindakan menuding jari kepada pihak lain dengan mendakwa mereka penyebab kepada penularan penyakit ini adalah sangat tidak bertanggungjawab.

Penggunaan isu virus ini sebagai modal politik untuk menyerang kerajaan terdahulu kerana lambat menyekat kemasukan pelancong dari China adalah amat dikesali.

Jangan kita lupa Kementerian Kesihatan di bawah Pakatan Harapan turut cemerlang dalam menguruskan penularan virus ini.

Kerajaan baharu di bawah Perikatan Nasional ini juga pastinya terus proaktif dalam melaksanakan pelan-pelan pencegahan dan pengurusan COVID-19.

Lebih baik, jika kepakaran kedua-dua blok politik ini dapat digembleng bersama.

Dalam keadaan krisis kini, semua pihak perlu bekerjasama, demi rakyat. Amat elok bagi kita sebagai rakyat untuk terus mempromosikan maklumat-maklumat penting berkaitan kaedah pembendungan penularan COVID-19 untuk manfaat kaum keluarga dan rakan-rakan kita.
——————

* BEN ZACK adalah pemerhati isu-isu semasa tanah air.