Jangan pecahkan jemaah ini, kata Timbalan Presiden AMANAH

Jangan pecahkan jemaah ini, kata Timbalan Presiden AMANAH

“Jangan pecahkan jemaah ini dan jangan renggangkan ukhuwah ini, kerana inilah kekuatan kita dan inilah Parti AMANAH kita,” kata Timbalan Presiden AMANAH Datuk Salahuddin Ayub ketika berucap dalam majlis iftar bersama pimpinan di Wisma Amanah semalam.

Menurut Salahuddin, AMANAH bukanlah sebuah parti bangsawan atau milik individu sebaliknya parti yang dibina sejak September 2015 lalu adalah berlandaskan semangat perjuangan bersama yang bermula ‘kosong’ sehinggalah sebagaimana dibanggakan pada hari ini.

Bagaimanapun, Salahuddin dengan rendah diri meminta ahli dan pimpinan agar sentiasa menegur serta mengajar pucuk pimpinan sekiranya mereka melakukan kesilapan.

“Saya sedar kita yang duduk di dalam kabinet tidak boleh alpa dan lalai, tidak boleh lari dari garis perjuangan.

“Jangan pisahkan diri kita daripada saf ini, kami pemimpin kami sedar kamilah golongan paling banyak buat salah,
kami sedar walaupun kami seorang menteri pada hari ini, kami tidak lepas daripada melakukan kesilapan
tegurlah kami, ajarlah kami dan jangan pisahkan diri kita dengan jemaah ini.

“Jangan pisahkan kita dengan kekuatan ini tanpa kudrat kita bina parti tidak mungkin AMANAH ada pada hari ini.

“Ingat! jiwa kita tinggalkan parti lama bukan kita bayar dengan harga yang murah tetapi kita bayar dengan harga mahal dan kita tahu kenapa kita tinggakan Pas kerana kita pasti jalan sebenar kenapa kita tubuh AMANAH.

“Kita sekarang berada di landasan yang betul. Oleh itu kalau kita sama-sama salah kita boleh sama-sama muhasabah
kalau kita sama-sama silap kita sama-sama betulkan,” ujarnya.

Apa yang perlu dibanggakan kata Salahuddin, kepimpinan AMANAH dalam kalangan menteri dan timbalan masih lagi bersih dari amalan rasuah dan salah guna kuasa.

Bagaimanapun, beliau akui ‘track record’ pimpinan AMANAH di dalam kerajaan masih belum boleh ditunjukkan dengan cemerlang kerana Pakatan Harapan baru sahaja genap setahun.

“Kita baru setahun, jalan dan harapan kita masih panjang. Kita yakin masa depan AMANAH sebuah parti yang kuat untuk menyumbang kepada masa depan Pakatan Harapan,” tegasnya.

Beliau menghargai tokoh veteran dan rakan-rakan pimpinan AMANAH yang tidak pernah jemu dengan perjuangan serta sanggup menempuh badai gelombang sehinggalah ke tahap apa yang ada pada hari ini.

“Anda penting untuk parti, kami pimpinan sejak hari pertama parti ditubuhkan kita bersamaa tempuhi badai gelombang dan taufan sampai apa yang dimiliki parti adalah hak kita bersama. Kita mahu parti terus cemerlang.