Malaysia Dateline

Jangan pecat mereka yang tolak vaksin, kata bekas Menteri Kesihatan

Bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad meminta agar pihak majikan tidak memberhentikan pekerja mereka yang menolak vaksin.

Menerusi ciapannya di Twitter, Dzulkefly berkata, sememangnya tidak mudah untuk menggarap dasar dalam menjaga kemaslahatan awam berkait dengan kesihatan dan nyawa manusia.

Justeru, beliau menyeru agar semua pihak melakukan libat urus secara terbuka berhubung isu berkenaan.

“Sementara kita menggalakkan vaksinasi termasuk dengan cara ‘disincentives’ mereka yang enggan atau ragu, jangan berhentikan kerja.

“Lakukan libat urus terbuka dan sivil,” ciapnya.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataannya dalam Wacana Sinar pada Khamis lalu yang berpendapat bahawa sekatan dikenakan kepada golongan tolak vaksin bukan satu diskriminasi.

Menerusi wacana berkenaan, Ahli Parlimen Kuala Selangor itu berkata, peraturan ditetapkan kerajaan dengan mengenakan beberapa sekatan aktiviti terhadap individu yang menolak vaksin bukanlah satu bentuk diskriminasi.

Bahkan menurutnya, adalah tidak munasabah bagi golongan yang menolak vaksin untuk menuntut hak sama rata dan mementingkan diri berbanding kepentingan awam.