Malaysia Dateline

Jangan peralat Ketua Pengarah Kesihatan untuk tutup Parlimen

Majlis Presiden Pakatan Harapan memberi amaran keras kepada Tan Sri Mahiaddin Md Yassin agar tidak memperalat agensi dan Kementerian-Kementerian, termasuk Ketua Pengarah Kesihatan, untuk menutup Parlimen pada Isnin ini.

Bagaimanapun, menurut Majlis Presiden PH Ketua Pengarah Kesihatan juga diingatkan agar tidak membenarkan diri beliau diperalat demi menutup Parlimen dan menghalang sidang khas seperti yang dititah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Sehubungan itu, Majlis Presiden menggesa semua pihak termasuk pegawai-pegawai Kementerian Kesihatan untuk tidak bersekongkol dengan Kerajaan Perikatan Nasional untuk melakukan helah untuk sengaja menutup sidang Parlimen pada Isnin ini

“Isu jangkitan COVID-19 tidak boleh dan tidak patut dijadikan alasan untuk menutup atau menangguh sidang Parlimen yang perlu diteruskan pada Isnin, 2 Ogos 2021.

“Jika Parlimen ditutup dengan hanya dengan kadar kurang daripada 1%, Parlimen berkemungkinan besar tidak akan bersidang lagi kerana hakikatnya COVID-19 akan terus berada di dalam masyarakat (endemic) bukan hanya di Malaysia, malah di seluruh dunia.

“Walau apapun yang berlaku, Ahli-Ahli Parlimen tidak boleh dihalang dari hadir ke Parlimen pada hari Isnin ini untuk melaksana tugas dan tanggungjawab kami kepada Rakyat dan Negara, serta melaksana sumpah yang telah kami angkat iaitu untuk memelihara, melindungi serta mempertahankan Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan bersama Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden AMANAH Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

PH juga mengingatkan Mahiaddin wajib mendengar suara Rakyat yang mahu titah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agung dijunjung dengan membahas dan memutuskan Ordinan-Ordinan Darurat di Parlimen pada Isnin ini.

Kenyataan tersebut antara lain telah menyatakan bahawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan telah mengelirukan Ahli-Ahli Dewan Rakyat pada 26 Julai dengan berkata pembatalan Ordinan-Ordinan Darurat telah mendapat perkenan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang
di-Pertuan Agong.

Kenyataan tersebut juga telah berkata permohonan pembatalan semua Ordinan Darurat oleh Kerajaan Perikatan Nasional gagal menghormati kedaulatan undang-undang dan telah membelakangi fungsi dan kuasa Seri Paduka Baginda selaku Ketua Umum Negara seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Pada Khamis lalu, sidang telah ditangguhkan empat kali. Salah satu alasan yang diguna ialah terdapat sejumlah kes positif COVID-19 di Parlimen, yang menyaksikan semua yang berada di Parlimen dihalang dari keluar dan diarah melakukan ujian saringan COVID-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah telah memaklumkan bahawa 1,183 orang telah disaring di mana 11 didapati positif COVID-19.

Dari 11 ini, 1 membuat saringan RT-PCR manakala 10 yang lain membuat saringan RTK.

Berdasarkan laporan Ketua Pengarah Kesihatan, kadar positif di Parlimen adalah 0.9%, manakala nilai ambang (threshold) yang disaran WHO bagi menentukan jumlah ujian saringan yang mencukupi ialah 5%.

Ini bermaksud tidak ada jumlah kes positif COVID-19 yang signifikan di Parlimen sepanjang minggu lalu.