Malaysia Dateline

Jangan peralat media burukkan NGO hijau, memang terbukti ladang sawit musnah hutan dan ancam hidupan liar

Saya amat tidak bersetuju pandangan Pengurus Besar, Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF), En Zamakhshari Muhamad dalam rencana yang ditulis oleh beliau yang disiarkan oleh akhbar Utusan Malaysia bertarikh 17 Jun 2022 apabila mendakwa ‘golongan atau kumpulan tertentu termasuk kumpulan hijau digunakan oleh pihak-pihak berkepentingan untuk memburuk-burukan minyak sawit’.

Golongan atau kumpulan tertentu termasuk kumpulan hijau iaitu pertubuhan berasaskan alam sekitar manakah yang didakwa oleh beliau?

Dakwaan beliau yang agak keterlaluan tanpa bersandarkan asas dan fakta juga seolah-olah menunding dan memberi perspektif negatif terhadap pertubuhan-pertubuhan alam sekitar (NGOs) di Malaysia.

Beliau perlu bertanggungjawab terhadap kenyataannya serta perlu telus dan menamakan golongan hijau yang dimaksudkan. Jangan sekadar serkap jarang atau ‘hear say’ sahaja apabila menulis atau mengeluarkan sesuatu kenyataan.

Banyak sawit ditanam di rizab sungai sekaligus mengancam populasi hidupan air.

Dakwaan mengaitkan ladang kelapa sawit dengan kemusnahan hutan mempunyai asas dan tidak boleh dinafi bersandarkan salah satu jurnal akademik (sila rujuk:- Sejarah: Journal of History Department, University Malaya; No 29 [2] 2020: 161-189; ISSN 1985-0611) dan Peta Guna Tanah, Semenanjung Malaysia yang diterbitkan oleh Bahagian Pengurusan dan Pemuliharaan Sumber Tanah, Jabatan Pertanian Semenanjung Malaysia.

Kemusnahan hutan untuk tujuan ladang kelapa sawit bukan hanya mengancam populasi Orang Utan terutama di Indonesia tetapi juga mengancam populasi hidupan liar lain terutama mamalia besar seperti Gajah, beberapa spesies Harimau, Badak Sumatera, Tapir dan lain-lain spesies di Semenanjung Malaysia.

Oleh itu, saya berharap Pengurus Besar MPOGCF perlu lebih berhati-hati apabila menulis dan mengeluarkan kenyataan yang boleh memberi sudut pandang atau perspektif negatif terhadap NGOs berasaskan alam sekitar di Malaysia.

*MEOR RAZAK MEOR ABDUL RAHMAN merupakan aktivis alam sekitar.