Dalam kolum mingguan saya di Sinar Harian Ahad lalu saya bagi amaran jangan percaya bulat-bulat kepada influencer dan sifu saham.
Sejak ada media sosial ini, ada macam-macam cara baru pengaruhi orang ramai membeli-belah, melabur, melancong dan berubat. Malahan cari jodoh dan pasangan pun ada.
Daripada situ muncullah influencer atau tukang pengaruh dan sifu (guru) yang mengaku atau berlagak pakar dalam segala bidang antara langit dan bumi.
Ikut cerita dalam media sosial juga, ada influencer, sifu, pedagang saham dan tauke alat kecantikan yang sewa kereta super mewah dan rumah besar untuk bergambar sebagai bukti kejayaan mereka.
Jadi berwapadalah lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi negara dan dunia yang tidak menentu sekarang dan diramalkan lebih teruk tahun hadapan.
Bank Dunia, Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF) dan banyak lagi agensi ekonomi telah bagi amaran yang pemulihan ekonomi dunia dikhuatiri terencat tahun hadapan akibat tekanan inflasi.
Pelaburan saham apatah lagi mata wang kripto tidaklah semudah yang diuar-uarkan oleh tukang pujuk dan sifu ini di mana mereka sendiri bukanlah pakar.
Nak mudah faham, kalau pelaburan saham mudah dan untung besar, tentulah tabung-tabung pelaburan yang labur dalam saham macam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Tabung Haji bayar dividen yang tinggi. Tapi mereka pun berhempas-pulas. Kadar dividen makin kurang.
Jadi adalah mustahil influencer dan sifu lebih pandai daripada pengurus pelaburan profesional yang kerjanya siang malam menjual beli saham bukan saja di Bursa Malaysia tetapi di seluruh dunia.
Kalau berminat juga, gunakan saluran dan pengurus pelaburan yang bertauliah. Paling selamat adalah melabur dengan pengurus saham amanah macam Amanah Saham Nasional Berhad milik PNB, Amanah Hartanah Bumiputera dan “mutual fund” yang ditaja oleh bank-bank perdagangan.
Baca juga: Solat ghaib Yusuf al-Qaradawi: Jakim anjur malam ini, Perlis laksana lepas Zohor esok
Baca juga: Anda mungkin terkena penyakit ‘earworms’ kalau asyik teringat lagu yang tidak mahu anda dengar