Malaysia Dateline

Jangan perkecilkan kemampuan Tun Dr Mahathir

Kekurangan yang ketara bagi pengkritik-pengkritik tegar Tun Mahathir seperti Abg KY adalah cuba membina naratif baru berdasarkan persepsi dan cakap-cakap politik yang tidak berdasarkan fakta dan data analitikal yang sepadan.

Saya telah agak lama membuat kajian terhadap pemikiran dan politik Tun Mahathir dan sehingga kini saya masih belum dapat memposisikan mana-mana satu tokoh politik yang dianggap sepadan dengan ketokohan Tun Mahathir sekalipun Anwar Ibrahim, yang dianggap seorang ikonik politik yang sangat berpengaruh dan cemerlang rekod pencapaiannya sama ada dalam belia, Umno dan pasca pemecatannya dari Umno pada tahun 1998 lalu.

Naratif Abg KY yang memperlekehkan keupayaan Tun Mahathir kelihatan tidak disertakan dengan fakta yang meyakinkan.

Berikut saya menyenaraikan beberapa faktor yang saya yakin Tun Mahathir mampu menggugat dan meruntuhkan kerajaan TSMY tidak lama lagi.

(1) Tun sejak awal mengatakan beliau mempunyai bilangan yang cukup untuk membentuk kerajaan berbanding TSMY. Walaupun TSMY memiliki segala kelebihan sebagai PM, yang mampu untuk melakukan tawar menawar terhadap ahli-ahli Parlimen untuk menyokongnya, namun sehingga sidang sehari pada 8 Mei yang lalu, Tun dipercayai mempunyai sokongan yang setanding dengan TSMY sehingga terdapat satu sumber yang boleh dipercayai mengatakan bahawa kedudukan sokongan TSMY dan Tun Mahathir adalah 50-50 (111 vs 111) di Parlimen.

(2) Walaupun Tun Mahathir dituduh sebagai penyebab keruntuhan kerajaan PH, namun sehingga kini Tun masih mampu mengemukakan alasan yang menyakinkan mengapa beliau bertindak demikian (meletakkan jawatan), dan banyak pihak boleh menerima alasan beliau dan malah menjelang 8 Mei 2020 yang lalu, Tun berjaya mendapatkan sokongan tidak berbelah bahagi dari Datuk Seri Anwar (PH) dan juga Syafie Apdal.

Tun Mahathir juga berjaya mendapatkan kelulusan Speaker Dewan Rakyat untuk mengemukakan undi tidak percaya kepada TSMY, walaupun akhirnya sidang 8 Mei hanya sekadar mendengar titah Ke Bawah DYMM SPBYDPA sahaja.

Selepas sidang ringkas 8 Mei, YB Kujat dari Sarawak menyatakan sokongan kepada Tun Mahathir sementara YB Baru Bian, MP Bebas kelihatannya mula memainkan peranannya dalam politik Sarawak yang berpotensi untuk memecahkan gabungan GPS.

Walaupun tidak mengiystiharkan sokongan terbuka, adalah dipercayai bahawa Baru Bian kini dilihat oleh pemerhati politik seolah-olah sebagai kuda trojan Tun Mahathir yang berperanan untuk melemahkan lagi solongan terhadap kerajaan PN.

Kesan dari kritikan Baru Bian terhadap ketidakseimbangan kuasa dalam GPS dan mendesak parti-parti kecil dalam GPS mengkaji semula kedudukan mereka dalam kolisi Sawarak tersebut, GPS pada 22 Mei lalu menyatakan mereka (GPS) bukan sebahagian dari anggota kolisi PN sepertimana yang difahami ramai sebelum ini.

(3) Meskipun banyak pihak mengatakan Tun enggan menyerahkan tampuk pemerintahan kepada DS Anwar Ibrahim sebelum kejatuhan PH tempoj hari, tetapi hakikatnya sorong tarik politik Tun Mahathir ini masih meletakkan beliau sebagai “pilihan wajar” bagi PH dan dilihat beliau (Tun) adalah faktor penting bagi PH untuk melakukan sesuatu bagi mengembalikan semula mandat rakyat 2018 yang lalu. PH sedar tanpa Tun, usaha untuk menentang TSMY dan menjatuhkannya hanyalah tinggal sekadar harapan semata-mata.

Oleh kerana itu, tidak ramai pemimpin PH secara terbuka menentang kerjasama sekali lagi dengan Tun Mahathir dalam politik negara. Ini bagi saya adalah satu kekuatan unik yang dimiliki Tun yang tidak dimiliki oleh sesiapapun.

(4) Sebagai seorang pemimpin dan negarawan ulung negara, tidak sesiapapun patut memperkecilkan keupayaan Tun Mahathir untuk melakukan gerak politik yang dijangka mampu menumbangkan sesiapa sahaja. Dan jangan memandang rendah pada kedua orang penasihat kanan beliau – Tun Daim dan Kadir Jasin. Dua individu ini adalah arkitek politik Tun dengan pemilikan pengaruh dan sumber yang tidak terhad.

Maka di atas beberapa faktor yang saya senaraikan di atas, maka wajar bagi musuh-musuh politik Tun Mahathir berwaspada dengan gerak serta tindakan politik beliau.

* Dr Mazlan Ali adalah Pensyarah Kanan Sekolah Perdana Universiti Teknologi Malaysia (UTM).