Malaysia Dateline

Jangan perleceh kangkung

Maaf kalau saya memprotes perbandingan kangkung dengan pengajar universiti yang rendah mutunya.

Saya mempertahankan kankung kerana ia adalah tumbuhan makanan yang sangat berguna dan tinggi khasiat pemakanannya. Lihat carta yang dilampirkan.

Ia mudah ditanam malah ada jenis yang tumbuh meliar di tempat-tempat seperti parit, paya dan tebing sungai yang tidak boleh ditamam dengan tanaman lain.

Kalau ada pun orang yang sebelum ini membandingkan profesor cetek akal dengan kangkung mungkin kerana orang itu tidak makan kangkung tapi makan sayur-sayuran mahal macam asparagus, brussel sprout dan broccoli.

Khasiat Pemakanan Kangkung.

Kalau hendak bandingkan juga profesor kelas ini dengan tumbuh-tumbuhan, saya cadangankan kita cari tumbuh-tumbuhan yang kurang kegunaannya atau tidak berguna langsung.

Misalnya lalang. Tapi lalang pun berguna sebagai penutup bumi (ground cover) bagi mencegah hakisan. Kaduk pun tak sesuai sebab ia pun mempunyai khasiat yang tinggi.

Tapi profesor yang berasa dirinya pandai, mungkin boleh kita umpamakan kaduk naik junjung. Kaduk tabiatnya menjalar di bumi. Bila naik junjung, ia menjadi kurus, keras dan tak sedap dimakan.

Dalam bahasa Inggeris, orang macam ini sering diungkapkan sebagai “too clever for his own good”. Maksudnya kecerdikan yang menyusahkan diri sendiri. Betullah, bila kena saman, kalah. Kena bayar ganti rugi dan melutut minta maaf.

Rasanya tidak ada perbandingan yang sesuai dengan apa juga ciptaan Tuhan kerana semua ciptaan Tuhan mempunyai rahsia dan manfaat tersendiri.

Masa saya bersekolah, kita sering guna ungkapan “otak beku” bagi orang yang tidak boleh berfikir. Boleh jadi kita gelar profesor macam ini sebagai POB (profesor otak beku) yang kerjanya MGB (makan gaji buta) dan suka MBAS – bukan Majlis Bandaraya Alor Star, tapi masuk bakul angkat sendiri.

Nota Kaki: Saya belajar di sekolah mubaligh Kristian Roman Katolik lapan tahun. Tidak dikristianisasi pun?

Terima kasih.