Malaysia Dateline

Jangan permainkan pemimpin BN yang ‘sakit’, kata Mohamad Sabu

Semua ahli Parti Amanah Negara (AMANAH) diarahkan agar jangan mempermainkan pihak-pihak yang sedang didakwa oleh kerajaan sekarang dengan dakwaan yang bukan-bukan termasuk ‘berlakon sakit’.

Dalam satu kenyataannya, Presiden AMANAH, Haji Mohamad Sabu berkata, kerajaan PH membiarkan proses undang-undang berjalan dan mahkamah untuk bertindak secara bebas dan adil dalam menghakimi pesalah-pesalah rasuah ini.

“Akan tetapi saya tidak bersetuju dengan tindakan sesetengah pihak yang memperlekehkan dan menyebarkan gambar-gambar bekas pemimpin yang didakwa ini dengan mengatakan mereka sedang “berlakon sakit”.” kata beliau yang juga Menteri Pertahanan itu.

Tindakan seperti ini, katanya, tidak mencerminkan kematangan mereka dalam berpolitik dan budaya sebagai rakyat Malaysia.

Antara pemimpin BN yang dikatakan sakit sebelum pendakwaan mereka baru-baru ini adalah bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman, bekas Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Mansor dan bekas menteri besar Negeri Sembilan, Tan Sri Isa Samad.

“Kita seharusnya mendoakan sesiapa sahaja yang sakit diberikan kesembuhan dengan segera dan bukannya memperlekehkan mereka,” kata Mohamad dalam satu kenyataannya.

Menurut Mohamad, AMANAH dan Pakatan Harapan (PH) sejak dari awal penubuhannya konsisten dalam melawan rasuah dan penyelewengan (BN) sehingga berjaya mendapat sokongan rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14)untuk menumbangkan Barisan Nasional (BN).

“Perjuangan ini diteruskan selepas PH menubuhkan kerajaan dan dapat dilihat dengan pendakwaan demi pendakwaan mahkamah dilakukan terhadap bekas pemimpin kerajaan dan anggota keluarga mereka yang terlibat dengan kegiatan rasuah dan penyelewengan,” katanya.