Malaysia Dateline

Jangan persiakan Tokoh Puisi Kebangsaan

Kini ada tiga hari puisi di negara kita. Selepas Hari Puisi Nasional (HPN) bermula pada 1971, ada pula Hari Puisi Malaysia (HPM), dan Hari Puisi Kebangsaan (HPK).

Walaupun berasaskan puisi, tetapi ketiga-tiga hari puisi ini berbeza. HPN (yang terbaharu di Tanjung Piai, Johor tahun lalu) ialah acara selama beberapa hari setiap dua atau tiga tahun sekali, manakala HPM dan HPK disambut masing-masing bermula pada 13 Jun 2021, dan 12 Julai 2022.

Lazimnya, HPN menerima penyertaan kira-kira 100 hingga 200 peserta mengikuti perbincangan menerusi pembentangan kertas kerja, dan forum oleh tokoh-tokoh undangan yang relevan.

Tarikh penganjuran HPN juga tidak ditetapkan. Ia boleh sahaja berlangsung pada awal, pertengahan ataupun penghujung tahun.

Dengan 13 Jun dan 12 Julai, bererti tarikh sambutan HPM dan HPK telah ditetapkan setiap tahun. Kedua-duanya boleh disambut dengan sekadar menyebut, atau turut dimeriahkan oleh pelbagai acara berkaitan.

Seperti biasa, ada pro dan kontra dalam setiap perkara. Kewujudan tiga hari puisi ini memang mengundang kritikan. Pengkritik bertanya apakah kewajarannya sehingga ada tiga hari puisi di negara ini. Ia boleh mengeliru dan membingungkan karyawan dan peminat puisi sendiri.

Saya sendiri pada mulanya hairan dan mula memikirkan apakah punca sebenarnya sehingga berlaku sedemikian.

Menurut penganjur, iaitu Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), HPK lahir atau diilhamkan daripada tarikh lahir Sasterawan Negara (SN) ketiga (1983), Allahyarham Datuk (Dr) Usman Awang.

Sambutan HPK 2022 turut dimeriahkan dengan acara tertentu. Pelancarannya telah disempurnakan pada 12 Julai lalu di Rumah GAPENA, Bukit Petaling, Kuala Lumpur oleh Dr Tan Awang mewakili Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Datuk Hajah Saraya Arbi.

Bersempena dengan pelancaran HPK 2022, turut diadakan Anugerah Tokoh Puisi Kebangsaan 2022. SN ke-12/2013, Datuk Baha Zain (Baharuddin Zainal), dan SN terbaharu/ke-15/2022, Dato’ Rahman Shaari diangkat sebagai Tokoh Puisi Kebangsaan 2022.

Oleh kerana ada Tokoh Puisi Kebangsaan, wajarlah ada Tokoh Puisi Kebangsaan Peringkat Negeri. Justeru, Sambutan Hari Puisi Kebangsaan 2022 Peringkat Negeri diadakan dari 13 Julai hingga 31 Julai lalu.

Meskipun sepatutnya ada Tokoh Puisi Kebangsaan Peringkat Negeri untuk setiap negeri, tetapi tiada tokoh berkenaan bagi Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, dan juga Labuan. Menariknya, ada dua tokoh puisi untuk Perak.

Tokoh Puisi Kebangsaan 2022 Peringkat Negeri yang pertama ialah Datuk Jasni Matlani yang dinobatkan dalam majlis Sambutan Hari Puisi Kebangsaan 2022 Peringkat Negeri Sabah pada 13 Julai lalu di Dewan Utama Sekolah Kebangsaan Bulbul Semporna, Sabah.

Majlis tersebut diadakan oleh Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA) yang mengundang Ahli Jawatankuasa Dewan Perniagaan Melayu Malaysia, Datuk Hj Abdul Hajan Haji Gurimbang sebagai tetamu kehormat.

Seterusnya pada 17 Julai lalu di Ibis Hotel, Kota Bharu, Kelantan di bawah kendalian Persatuan Penulis Kelantan (PPK), dengan tetamu kehormatnya, Dato’ A Aziz Deraman, PPK menobatkan penyair veteran, Leo AWS sebagai Tokoh Puisi Kebangsaan 2022 Peringkat Negeri Kelantan.

Pada 22 Julai, Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) mengadakan majlis sambutan HPK 2022 bersempena dengan Baca Puisi PENA di Rumah PENA, dan mengumumkan penyair Pyanhabib (Mohd Supyan Abd Rahman) sebagai Tokoh Puisi Kebangsaan 2022 Peringkat Kuala Lumpur.

Anugerah tersebut disampaikan oleh Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Datuk Seri Prof Dr Hj Awang Sariyan sebagai tetamu kehormat.

Kemudian pada 23 Julai 2022, Persatuan Karyawan Sarawak (PEKASA) mengadakan majlis sambutan HPK 2022 di Balai Budaya Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak, Kuching dengan tetamu kehormatnya, Setiausaha Satu GAPENA, Haji Hamzah Hamdani.

Dalam majlis tersebut, PEKASA mengangkat penyair veteran, Haji Saie Driss sebagai Tokoh Puisi Kebangsaan 2022 Peringkat Negeri Sarawak.

Ikatan Penulis Melaka (IPM), Melaka pada 24 Julai lalu mengundang SN Dato’ Rahman dalam majlis sambutan HPK 2022 di Dewan Rafflesia, Hotel Kobemas, Ayer Keroh, dan mengangkat penyair veteran, Haji Aladdin Mohamad sebagai Tokoh Puisi Kebangsaan 2002 Peringkat Negeri Melaka.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Negeri Johor, Norlizah Noh pula dijemput oleh Persatuan Penulis Johor menghadiri majlis penganugerahan Tokoh Puisi Kebangsaan 2022 Peringkat Negeri Johor di Sekolah Menengah Kebangsaan Air Tawar, Kota Tinggi pada 24 Julai 2022 juga. Penerimanya ialah Mohd Rosli Bakir.

Persatuan Sasterawan Terengganu (PELITA) mengadakan majlis sambutan HPK 2022 pada 28 Julai di Perpustakaan Awam Hulu Terengganu, dan mengangkat penyair prolifik Hilmi Rindu sebagai Tokoh Puisi Kebangsaan 2022 Peringkat Negeri Terengganu.

Anugerah tersebut disampaikan oleh Norhanafi Mohamad yang mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong, Dato’ Rozi Mamat sebagai tetamu kehormat.

Pada 30 Julai pula, Lembaga Pembangun Sastera Perak (LEPAS) mengambil giliran mengadakan majlis sambutan HPK 2022, dan mengumumkan Tokoh Puisi Kebangsaan 2022 Peringkat Negeri Perak di Dataran Pavilion Kuala Kangsar, dengan tetamu kehormatnya ialah ADUN Bukit Chandan, Datuk Maslin Sham Haji Razman.

Agak mengejutkan apabila dua penyair diumumkan oleh LEPAS sebagai penerima, iaitu Chai Loon Guan dan Onn Abdullah. Selain menjadi ahli Persatuan Karyawan Perak atau Karyawan Pk, Onn juga menganggotai Persatuan Penulis dan Kebajikan Negeri Selangor (KEMUDI).

KEMUDI pula mengadakan majlis sambutan HPK 2022 di Kelab Shah Alam Selangor, Shah Alam pada 31 Julai dengan tetamu kehormatnya, Pengerusi Jawatankuasa Luar Bandar dan Kebudayaan Negeri Selangor, Borhan Aman Shah.

Dalam majlis tersebut, penyair dan deklamator puisi veteran, Dr Hj Ahmad Razali Yusof diumumkan sebagai Tokoh Puisi Kebangsaan 2022 Peringkat Negeri Selangor.

Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) turut mengendalikan majlis sambutan HPK 2022 Peringkat Negeri Pahang. Dalam majlis pada 31 Julai itu, DPMP mengundang Dato’ Dr Ahmad Munawar Abdul Jalil sebagai tetamu kehormat.

Prof Emeritus Dato’ Dr Hj Mohd [email protected] Abdullah atau nama penanya, M Ashikin dinobatkan sebagai Tokoh Puisi Kebangsaan 2022 Peringkat Negeri Pahang dalam majlis yang berlangsung di Hotel Megaview Kuantan itu.

Daripada 11 penyair yang terpilih, Pyanhabib dan M Ashikin merupakan dua karyawan sajak atau penyair bukan anak jati negeri terbabit. Mereka berasal dari Perak.

Ketiadaan Tokoh Puisi Kebangsaan 2022 dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang, dan Negeri Sembilan agak menghairankan. Difahamkan penganugerahan diadakan saban tahun.

Persatuan Penulis Perlis (3P) mengadakan majlis sambutan HPK 2022 pada 24 Julai di Auditorium Perpustakaan Awam Perlis dengan Dato Seri Setiausaha Kerajaan Perlis sebagai tetamu kehormat.

Namun demikian, penyair terkenal Negeri Indera Kayangan itu seperti Rejab FI tidak terpilih sebagai Tokoh Puisi Kebangsaan 2002 Peringkat Negeri Perlis. Usahkan memilih, 3P tidak menyenaraikan calon penerima pun!

Majlis sambutan HPK 2022 bagi Pulau Pinang dikendalikan oleh Persatuan Penulis Pulau Pinang (2PNP) pada 28 Julai di Perpustakaan Desa Pajak Song, Kepala Batas.

Bukan sahaja Tokoh Puisi Kebangsaan 2022 Peringkat Negeri Pulau Pinang tiada, tetamu kehormat juga tiada. Cuma Ibnu Din Assingkiri yang dijemput oleh 2PNP sebagai penceramah. Saya menjangkakan Shukor Embi akan terpilih, tetapi meleset.

Pada hari berikutnya, Angkatan Sasterawan Nasional Negeri Kedah (ASASI) pula mengendalikan majlis sambutan HPK 2022. Berlangsung di Dewan Masjid Jame’ Al-Shahab, Kepala Batas, Kedah, majlis tersebut tanpa tetamu jemputan, dan pengumuman Tokoh Puisi Kebangsaan 2022 Peringkat Negeri Kedah.

Jangkaan saya bahawa seorang penyair dan deklamator terkenal/prolifik Kedah sejak dahulu, iaitu Puzi Hadi terpilih turut tersasar.

Seperti 3P, Persatuan Penulis Wilayah Persekutuan Labuan (PERWILA) juga tidak menyenaraikan senarai penerima Tokoh Puisi Kebangsaan 2022 Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan walaupun mengadakan majlis sambutan HPK 2022 pada 31 Julai.

PERWILA mengundang Timbalan Pengarah, Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan Labuan, Yahya Ahmad Puteh sebagai tetamu kehormat dalam majlis di Pusat Kokurikulum Negeri, Wilayah Persekutuan Labuan itu.
Walau bagaimanapun, terlebih menyedihkan apabila Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN) langsung tidak mengadakan majlis sambutan HPK 2022. Barangkali tiada peruntukan atau PEN menganggapnya tidak perlu kerana tiada penyair (yang masih hidup) yang layak diangkat.

Penyair terkenal dari Negeri Sembilan seperti Dharmawijaya (Kamaruzzaman Abdul Kadir) dan Dharmala NS telah lama meninggal dunia. Mungkin anugerah ini mengecualikan penyair yang telah tiada. Mahaya Mohd Yassin yang juga mantan Ketua Satu PEN masih berkarya, tetapi barangkali tidak layak dicalonkan/dipilih.

Saya tidak mahu bersangka buruk kerana kalau tidak silap antara syarat pemilihan ialah calon perlu memiliki lima antologi puisi perseorangan sebelum 2022.

Syarat lima antologi puisi itu meskipun dianggap ketat, tetapi boleh menjadi penanda aras keampuhan penyair. Dari satu segi, ini tidak mengapa kerana pemilihan diadakan saban tahun. Lambat-laun, negeri yang belum ada tokoh puisi akan memperolehnya.

Cuma, sebagaimana anugerah sastera untuk peringkat kebangsaan dan negeri selama ini, karyawan perlu mencalonkan diri sendiri dengan menyerahkan salinan semua karya yang relevan dalam tempoh tertentu kepada pihak urus setia.

Cara tersebut, iaitu penganjur tidak meninjau karya/karyawan, boleh menafikan keadilan dan keseluruhan kerana jika ada karyawan yang benar-benar layak menang, tetapi tidak menghantar pencalonan dirinya, dia terlepas daripada kemenangan. Secara tidak langsung, dia juga dianggap tidak hebat oleh pengikut sastera tanah air, dan umum.

Namun begitu, seperkara penting di sini ialah sebagaimana juara Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan juga anjuran GAPENA saban tahun, tokoh puisi kebangsaan peringkat pusat dan negeri yang terpilih jangan dipersia-sia.

Manfaatkan ilmu, pengalaman dan kelebihan mereka demi perkembangan dunia perpuisian tanah air. Program yang berkaitan, seperti ceramah/bengkel misalnya, elok diadakan dari semasa ke semasa untuk membimbing calon penyair, malah penyair sedang giat.

Baca juga Benarkah anda anak keturunan Melayu? Cuba jawab 20 teka-teki berusia lebih 100 tahun ini

Baca juga Wartawan yang mengangkat hak wanita di Malaysia, kenali Azah Aziz