Malaysia Dateline

Jangan pilih ‘bulu’ ambil tindakan ingkar PKP, kata AMANAH Sabah

Parti AMANAH Negara Negeri Sabah mendesak kerajaan supaya tidak memilih ‘bulu’ dalam mengambil tindakan terhadap kepada sesiapa yang ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan sejak 18 Mac lalu hingga 12 Mei ini.

Pengarah Komunikasi AMANAH Sabah, Zaidi Jatil berkata, mengikut statistik seramai 1,014 individu di seluruh negara telah dituduh dan didakwa di mahkamah oleh pihak berkuasa setakat semalam.

Keseluruhannya jumlah tangkapan kumulatif ingkar PKP ialah seramai 19,048 orang di seluruh negara direkodkan ketika ini.

Bagaimanapun katanya, insiden yang melibatkan orang kenamaan serta keluarga mereka masih belum lagi diambil tindakan yang sewajarnya sehingga hari ini.

“Rakyat mahu pihak yang melaksanakan penguatkuasaan ini bersikap lebih adil kepada mana-mana individu yang ingkar dengan arahan PKP ini.

“Bukannya hanya sekadar merakamkan percakapan atau apabila seseorang kenamaan itu memohon maaf, maka tindakan hanya selesai begitu sahaja.

“Tetapi apabila melibatkan rakyat marhaen biasa, tindakan yang diambil adalah tegas,” ujar beliau ketika dihubungi di Sandakan, Sabah hari ini.

Justeru, ujar beliau, AMANAH Sabah menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan yang lebih tegas lagi terhadap individu yang ingkar arahan PKP tidak kira ia membabitkan orang kenamaan atau rakyat keseluruhannya.

“Ini adalah kerana undang-undang dan peratuan tidak mengenal siapa hatta Perdana Menteri sekali pun,” tambah Zaidi.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Kesihatan Dato’ Dr Noor Azmi Ghazali, Exco Kerajaan Negeri Perak, Razman Zakaria dan anak Presiden Umno, Nurul Hidayah Zahid dikatakan telah melanggar arahan PKP apabila menghadiri majlis makan beramai-ramai dan keluar membeli-belah bersama pasangan.

Ekoran itu, rata-rata nitizen di media sosial melahirkan rasa ketidakpuashatian dengan tindakan yang kurang tegas diambil oleh pihak berkuasa terhadap mereka.