Jangan pilih calon yang korup, pinta Lee Lam Thye

Jangan pilih calon yang korup, pinta Lee Lam Thye

Bekas Ahli Parlimen Bukit Bintang, Tan Sri Lee Lam Thye, menyeru pengundi-pengundi supaya memilih calon yang berintegriti kerana mereka boleh membantu membasmi rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Kata beliau, rakyat tidak boleh bertolak ansur dengan rasuah dan membiarkan ia merosakkan masyarakat.

“Kita tidak boleh membiarkan sahaja dan bersikap tidak peduli tentang rasuah kerana ia menyerang bukan sahaja ekonomi dan asas kedhidupan bermasyarakat tetapi juga asas moral kehidupan,” kata beliau dalam kenyataannya hari ini.

Kata Lam Thye, masanya telah tiba bagi rakyat Malaysia membuat keputusan penting pada 9 Mei ini sempena Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Kesan yang bakal ditinggalkan nanti, jelas beliau, bukan sahaja untuk jangka masa lima tahun, tetapi ia juga akan menentukan nasib negara dan generasi akan datang.

Kata beliau, sebagai seseorang dulunya pernah terlibatdan menyaksikan banyak pilihan raya, beliau ingin memberikan beberapa nasihat.

“Semua pengundi Malaysia yang layak , mesti menunaikan hak asasinya untuk membantu menentukan masa depan negara.

“Setakat ini, kebanyakan rakyat Malaysia telah dapat menentukan tentang bagaimana mengundi dan siapakah yang akan diundi. Bagaimanapun sebelum membuang undi, mereka perlu berfikir serius dan membuat keputusan yang matang serta kritikal demi negara dan masa depannya.

“Undilah mereka yang efektif, jujur, amanah, berdedikasi serta komited untuk berkhidmat kepada pengundi-pengundinya. Pengundi perlu melihat persembahan yang ditujukkan oleh calon-calon ini termasuk mereka yang mempertahankan kerusi tersebut,” kata beliau.

Tambah beliau, semua ahli parlimen dan ahli dewan undangan negeri (Adun) mesti memberikan komitmen mereka kepada kawasan yang diwakili dan bersedia setiap masa apabila diperlukan.

Ahli parlimen dan Adun yang baharu dipilih katanya, mesti memikirkan untuk berkhidmat sepenuh masa untuk berlaku adil kepada pengundi-pengundinya.

Lee Lam Thye berharap, kempen hangat menjelang PRU14 ini tidak membawa kepada kesan buruk serta menyemai kebencian dalam kalangan rakyat.