Malaysia Dateline

Jangan politikkan bencana tanah runtuh, elak remehkan kerja selamatkan nyawa

Pas tidak harus mempolitikkan bencana tanah runtuh di Batang Kali, Selangor seperti dakwaan pemimpin parti itu kononnya pemimpin politik Kerajaan Persekutuan menghalang Unit Amal untuk membantu operasi mencari dan menyelamat mangsa.

Bekas Ahli Parlimen Kuala Kedah, Dr Azman Ismail berkata, dakwaan pemimpin parti itu adalah gambaran bahawa Pas masih tidak dapat ‘move on’ dengan status mereka sebagai pembangkang.

“(Hal ini) suatu yang amat malang kerana (Pas) hendak mempolitikkan segala-galanya dan keadaan sekarang yang berlaku ialah satu tragedi yang meragut nyawa ramai orang.

“Tak sepatutnya sama sekali komen yang sedemikian,” katanya ketika dihubungi Malaysia Dateline.

Jelasnya, tragedi runtuhan tanah yang disahkan meragut 24 nyawa dengan sembilan mangsa masih hilang itu tidak boleh ditangani oleh unit sukarelawan yang tidak terlatih.

Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) di lokasi bencana yang ditimbus 500,000 tan tanah pada 16 Disember itu menitikberatkan faktor tanah dan cuaca.

Oleh sebab itu, kata Dr Azman, unit amal parti politik atau badan sukarela lain perlu mengikut arahan pihak berkuasa untuk tidak ikut campur dalam kerja SAR di kawasan yang merbahaya dan boleh menyebabkan mereka pula ditimpa musibah.

“Jangan meremehkan kerja yang rumit untuk menyelamatkan nyawa dan memerlukan kepakaran tertentu. Itu malang sekali bagi saya,” tambahnya lagi.

Kelmarin, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani menegaskan bahawa sukarelawan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tidak dibenarkan berada di lokasi operasi SAR tragedi di Batang Kali.

Jelasnya lagi, operasi tersebut diketuai oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan tidak sesuai bagi orang awam untuk membantu.

Baca juga ‘Geng tebuk atap sebenarnya yang tidak bebas’ – Rafizi selar PN isu MoU gabungan Kerajaan Perpaduan