Jangan politikkan cadangan buka semula Zon Aliran Bebas Wang Kelian

Jangan politikkan cadangan buka semula Zon Aliran Bebas Wang Kelian

Izizam Ibrahim

Kerajaan sepatutnya tidak mempolitikkan cadangan untuk membuka semula Zon Aliran Bebas (free flow) di pintu sempadan Malaysia-Thailand dekat Wang Kelian setelah ia dimansuhkan pada 2015 yang lalu.

Malah kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa cadangan untuk membuka semula pintu tersebut hanya akan ditunaikan dengan syarat Barisan Nasional (BN) menang 100 peratus dan menerajui Perlis dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14) tidak ikhlas.

Demikian dinyatakan oleh Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Padang Besar, Izizam Ibrahim ketika meninjau kawasan pintu masuk sempadan di Wang Kelian yang semakin sunyi dan sepi tanpa penghuni.

“Seharusnya dengan meletakkan syarat sekiranya BN menang 100 peratus di Perlis barulah Zon Aliran Bebas atau ‘free flow’ tersebut akan dibuka tidak masuk akal sama sekali.

“Sebagai sebuah kerajaan, beliau harus tahu bahawa dengan penutupan zon tersebut sejak 2015, ratusan arked yang menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negara telah ditutup.

“Ramai peniaga tempatan terpaksa gulung tikar akibat polisi yang tidak membantu sektor pelancongan negeri Perlis sepertimana yang telah dikuatkuasakan oleh kerajaan,” jelasnya.

Beliau juga berkata, akibat penutupan Zon Aliran Bebas tersebut penduduk tempatan khususnya pengusaha kecil sudah tidak dapat lagi memasarkan produk tempatan mereka.

Selain itu tegasnya, peluang pekerjaan yang mampu disediakan kepada ribuan anak muda dan penduduk tempatan sudah tidak ada lagi menyebabkan ramai yang hilang punca pendapatan.

Bangunan arked yang tersegam indah juga sudah dibiarkan kosong kerana polisi kerajaan sehinggakan merugikan peniaga.

“Kini arked yang sedia ada semakin usang dan terbiar tanpa dipedulikan lagi setelah penutupan pintu tersebut.

“Sektor pelancongan ke negeri Perlis semakin suram, tanpa diberi perhatian sama ada oleh kerajaan negeri maupun kerajaan pusat.

“Bagi kerajaan negeri Perlis dan kerajaan Pusat, peluang pekerjaan yang mampu disediakan dengan kewujudan zon tersebut khususnya bagi penduduk tempatan tidak menjadi kepedulian mereka langsung,” ujarnya lagi.

Menurut Izizam lagi, sebelum ini kawasan tersebut menjadi tumpuan khususnya bagi pelancong tempatan dan luar negara untuk membeli-belah kerana ia bersempadan dengan Thailand.

Tegasnya lagi, ribuan pelancong saban hari telah berjaya meningkatkan ekonomi dan menambah sumber pendapatan penduduk tempatan.

“Apa saja barangan dan produk tempatan sudah pasti laku dan boleh diniagakan ketika itu.

Deretan arked yang menjadi tumpuan pelancong suatu ketika dulu kini dibiarkan tanpa pengunjung lagi.

“Daripada produk kampung, pakaian, barangan dapur dan seribu satu macam keperluan terdapat di ratusan arked yang wujud tatkala itu.

“Namun begitu kelemahan kerajaan, akhirnya menutup pintu rezeki peniaga dan penduduk Perlis sendiri sehinggakan ramai yang menanggung kerugian sehingga ke hari ini,” tambahnya lagi.

Katanya lagi, meletakkan syarat sekiranya BN menang baru hendak dibuka zon tersebut bukan suatu kesungguhan kerajaan untuk membantu rakyat negeri Perlis.

Sebelum ini pun Raja Perlis ketika majlis Pecah Tanah Jeti Bersepadu Sanglang baru-baru ini, telah bertitah ketika Datuk Seri Najib mengadap baginda di Istana Arau, supaya Zon Aliran Bebas Wang Kelian dibuka semula bagi meningkatkan semula tarikan pelancong serta ekonomi kawasan tersebut.

10.0
OVERALL SCORE
: 10.0
Have no any user vote
CATEGORIES
TAGS