Malaysia Dateline

Jangan ragu-ragu buka surau dengan SOP, rahmat Allah itu luas

Semua pihak diingatkan supaya menetapkan keyakinan dan pendirian bahawa Rahmat Allah senantiasa menanti dan ada di rumah-rumah Allah dan tidak perlu khuatir dan bimbang.

Malah keberkatan juga terdapat di rumah-rumah Allah dan tidak harus dinafikan oleh mana-mana golongan atau pihak yang berkepentingan.

ABDULLAH MOHD NOR

Demikian dinyatakan oleh Timbalan Pengerusi Teras Pengupayaan Melayu Pulau Pinang (Teras), Abdullah Mohd Nor ketika ditemui semalam.

Beliau mengulas pandangan sesetengah pihak yang masih ragu-ragu untuk membuka masjid dan surau walaupun pasaraya, sukan dan sebagainya sudah dibolehkan buka.

Kata beliau lagi, masjid-masjid dan surau-surau sewajarnya dibuka seperti biasa setelah sekian lama dijauhi akibat penularan wabak covid-19.

“Setiap masjid dan surau jumaat mempunyai dana dan tabungan tersendiri setiap minggu dan ianya boleh digunakan dengan penyediaan peralatan nyah kuman, pelitup muka, sanitizer, penjarakan sosial dan sebagainya.

“Sejajar dengan itu tiada apa jua alasan yang boleh dijadikan untuk terus menutup masjid dan surau setelah hampir tiga bulan tidak dikunjungi kerana ketakutan yang teramat sangat, sedangkan rahmat Allah sedia menanti untuk dilimpahi.

“Kita dapat teladani sesetengah negara luar yang membenarkan ibadah di masjid terus dilaksanakan tanpa menghadkan kuantiti sebaliknya penyediaan dan pengawalan melalui beberapa langkah keselamatan kesihatan dilaksanakan mengikut standard of procedure,”tegasnya lagi.

Tambah beliau seharusnya rakyat digalakkan untuk terus melipatgandakan usaha mendekati Allah termasuklah memaksimakan keberkatan dan rahmat yang telah disediakan kepada mereka yang memakmurkan rumah-rumah Allah, apalagi dalam situasi mengharapkan bantuan Allah bagi menghilangkan penularan wabak Covid 19 kini.