Malaysia Dateline

Jangan rembat kuasa Parlimen untuk luluskan wang tambahan

Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng mengingatkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin agar tidak merampas kuasa Parlimen untuk meluluskan Belanjawan (Perbekalan) Tambahan.

Menerusi ciapannya di Twitter, Guan Eng membangkitkan di mana ketelusan kerajaan sekiranya wang rakyat berjumlah berbilion ringgit terletak di tangan seorang individu.

“Adakah prinsip demokrasi, akauntabiliti awam dan ketelusan masih wujud sekiranya kuasa menentukan segala-galanya yang melibatkan puluhan bilion ringgit wang rakyat terletak dalam tangan seorang individu?

“Jangan rembat kuasa Parlimen untuk meluluskan Belanjawan (Perbekalan) Tambahan.

“Kembalikan kuasa rakyat. Buka semula Parlimen dengan segera!,” ciapnya.

Menurut bekas Menteri Kewangan itu, ordinan darurat terbaru telah memberikan kuasa kepada Perdana Menteri dalam perbelanjaan wang negara, menggantikan peranan institusi Parlimen dalam pengurusan khazanah negara.

Terdahulu, kerajaan telah meluluskan undang-undang yang membenarkan Perdana Menteri, ketua menteri atau Menteri Besar meluluskan perbelanjaan tambahan atau menggunakan Kumpulan Wang Disatukan tanpa melalui legislatif sepanjang penguatkuasaan darurat.

Ini bermakna, menteri besar atau ketua menteri boleh menambah perbelanjaan atau menggunakan Kumpulan Wang Disatukan masing-masing tanpa kelulusan wakil rakyat.

Perkara ini digariskan dalam ordinan yang dikeluarkan hari semalam yang memperkenalkan dua seksyen baru, iaitu Seksyen 10a dan 10b dalam Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021.

Ordinan baru itu juga menggantung Perenggan 4(b) Akta Pendanaan Kerajaan 1983 dan Perenggan 2(2)(b) Akta Bil Perbendaharaan (Tempatan) 1946, yang berkaitan kuasa Dewan Rakyat berhubung soal kewangan.