‘Jangan salah pilih calon, calon tempatan tidak semestinya beri khidmat terbaik’

‘Jangan salah pilih calon, calon tempatan tidak semestinya beri khidmat terbaik’

Dr Mariah Mahmud ketika ceramahnya di Equine Park di Seri Kembangan bersama pimpinan Pakatan Harapan yang diadakan malam tadi.

“Jangan salah pilih… hanya mahu calon tempatan. Calon tempatan tidak semestinya dapat memberi khidmat yang terbaik.

“Beri peluang kepada saya dengan pakej yang saya ada untuk menawarkan khidmat kepada pengundi di Seri Serdang.

“Saya akan gunakan pengalaman 10 tahun memberikan khidmat di Kota Raja untuk memberikan khidmat di sini pula.”

Demikian kata, calon N29 Seri Serdang Dr Mariah Mahmud ketika ditanya perasaannya setelah dua minggu berkempen bersama jentera Pakatan Harapan (PH) di kawasannya bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 kali ini.

Hanya berbaki 2 hari lagi masa untuk calon berkempen, Ketua Wanita AMANAH Nasional (Awan) ini, adalah calon luar yang dibawa masuk ke N29 Sri Serdang untuk mencabar lawannya dua calon tempatan iaitu Datuk Mohamad Satim Diman (BN) dan penyandang Noor Hanim Ismail (Pas) pada 9 Mei ini.

Bekas wakil rakyat Parlimen  Kota Raja dua penggal ini berkata, mentaliti sebahagian besar rakyat berpendapat calon tempatan akan dapat memberikan perkhidmatan terbaik adalah pandangan tidak tepat.

Beliau yang telah mula berkempen sejak 19 April lalu dan mengiatkan jadual berkempen selepas hari penamaan calon, mendakwa, ketika berkempen banyak keluhan dikalangan pengundi di Seri Serdang mengenai wakil rakyat mereka yang didapati tidak menyantuni pengundi setelah menang pilihan raya lalu.

“Saya menemui pengundi, ada dikalangan mereka marah-marah kerana menyangkakan saya adalah ‘Hanim’ (penyandang kerusi Sri Serdang).

“Ini membuktikan calon Pas yang menang pada PRU13 lalu jarang bertemu pengundi kerana mereka tidak begitu kenali wajah wakil rakyat mereka.

“Ramai dikalangan pengundi di Seri Serdang juga melahirkan rasa tidak puashati kerana setelah calon menang, penyokong merasakan tidak dihargai kerana wakil rakyat mereka datang ketika masa kempen pilihan raya sahaja.

“Ini berbeza dengan calon BN Satim Diman walaupun beliau calon tempatan pernah bertanding di Seri Serdang pada pilihan raya umum 2008 pergerakan politiknya lebih halus sentiasa pandai ambil hati pengundinya di Seri Serdang ini, walaupun beliau bukan lagi wakil rakyat,” ujarnya.

Dr Siti Mariah Mahmud menyampaikan ceramah kelompok bersama komuniti India di Pangsapuri Aman, Puchong Permai.

Sedikit latarbelakang calon dari AMANAH ini, sebelum aktif berpolitik, beliau adalah bekas doktor pelatih di Hospital Melaka dan bekas pensyarah di Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Dr Mariah dilahirkan di Kedah dan pemastautin di Kampung Kubu Gajah Sungai Buloh, Selangor. Beliau adalah penyandang kerusi Parlimen Kota Raja dua penggal (2008-2013).

Sebelum ini  kerusi Dun Seri Serdang menjadi rebutan antara PKR dan AMANAH kawasan, yang mencadangkan kepada pucuk pimpinan parti masing-masing untuk memberi keutamaan kepada calon tempatan.

Bagaimanapun kerusi Seri Serdang akhirnya dimuktamadkan diberikan kepada calon daripada AMANAH.

Menurut Dr Mariah sebagai calon luar ia adalah satu cabaran yang agak sukar kerana pengundi dan pimpinan parti di kawasan mengharapkan sesuatu yang luar biasa mampu diberikan oleh beliau sebagai bakal wakil rakyat mereka, berlainan daripada calon BN dan Pas.

“Saya akui saya memang calon luar. Tetapi itu bukan keputusan saya untuk bertanding di sini. Saya sedia galas tanggungjawab yang diberikan oleh kepimpinan parti walaupun di mana kawasan saya diletakkan untuk bertanding.

“Dengan pengalaman 10 tahun sebagai ahli parlimen di Kota Raja saya tidak pernah dengar lagi pengundi di sana merungut mengenai perkhidmatan saya kepada mereka.

“Ini kerana selama menjadi wakil rakyat, saya memberikan fokus untuk bekerja di kawasan mereka.Saya akui saya pernh disabotaj apabila saya menyertai AMANAH.

“Ramai ketua kerajaan, ketua kampung mula memulaukan saya sebagai wakil rakyat mereka. Kadangkala saya sendiri tidak dipanggil untuk mendengar permasalahan mereka.

“Dan saya yakin untuk saya bertanding di Seri Serdang pastinya ada pihak yang akan mensabotaj saya sebagai calon mereka,” ujarnya yang menang sebagai calon Pas ketika Pas dalam Pakatan Rakyat (PR) di Selangor, sebelum beliau menyertai AMANAH.

Dr Mariah Mahmud di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Puchong bagi menghadiri sesi dialog bersama 15 NGO kaum Tionghua.

Seri Serdang di bawah Parlimen Puchong ini mempunyai 14 Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang mana 65 peratus adalah Melayu dan 35 peratus bukan Melayu.

Matlamat untuk meraih sokongan lebih kurang 73,769 pengundi di Seri Serdang bukan mudah terutamanya menarik sokongan pengundi Melayu yang berpecah kepada BN dan Pas.

Oleh itu pendekatan kempen beliau lebih banyak mendekati pengundi bukan Melayu berbanding pengundi Melayu.

“Bagi pengundi bukan Melayu saya menerangkan kepada mereka mengenai manifesto Pakatan Harapan dan pengalaman 10 tahun saya sebagai Ahli Parlimen.

“Ini adalah peluang kerana saya tidak bermula dengan kosong berbanding ketika diberikan tanggungjawab untuk bertanding di kerusi Kota Raja.

“Bagi pengundi bukan Melayu mereka mahukan setiap masalah perlu ada solusi dan kita harus mendengar permasalahan mereka.

“InsyaAllah saya akan sedia mencari solusi untuk mereka sekiranya saya menjadi wakil rakyat di kawasan ini,” ujarnya yang menganggap gerak kerja kempen mendekati pengundi tidak sukar dilaksanakan di Seri Serdang kerana sebelum ini mempunyai pengalaman di Kota Raja.

Kata beliau lagi tumpuan harus diberikan kepada program rakyat di bawah lingkungan B40 dan M40 sekiranya kemenangan memihak
kepada beliau pada PRU14.

“Di sini banyak flat kos rendah kita akan lebih banyak mengadakan aktiviti untuk mereka di sini. Dan saya bercadang untuk membuka dua pusat khidmat rakyat di Seri Serdang dan Puchong. Jika di Puchong sahaja pengundi terpaksa melalui dua tol di Lebuh Raya Damansara-Puchong.

“Ini kerana kawasan Seri Serdang lebih luas dari kawasan Kota Raja,” terangnya.

Dr Siti Mariah Mahmud ketika bergambar bersama pengundi di Kampung Seri Aman di Dun Seri Serdang.

Sebagai rekod pada PRU13 lalu N29 Seri Serdang dimenangi penyandang Noor Hanim Ismail (Pas) majoriti 16,251 mengalahkan
calon BN Mohamad Yusof Mohamed Yassin.

Manakala Datuk Mohamad Satim Diman pernah menyandang dua penggal kerusi Sri Serdang pada 2004 (PRU11) dan 2008 (PRU12).

Bagaimanapun beliau tidak dicalonkan pada PRU13 setelah menang majoriti tipis 45 undi di tangan Ahmad Idzam Ahmad (Pas) pada PRU12 berbanding PRU11 menang majoriti 10,545 undi.

Ini disebabkan berlaku tsunami Melayu apabila pakatan pembangkang ketika itu menerusi PR yang dianggotai PKR, DAP dan Pas telah membawa kepada kekalahan teruk BN di Selangor pada 2008 dan diikuti pada 2013.

Bagi sebahagian besar penganalisis politik meramalkan pada PRU14 akan berlaku sekali lagi tsunami iaitu tsunami rakyat apabila tertubuhnya parti serpihan seperti AMANAH dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang membentuk pakatan pembangkang baharu Pakatan Harapan yang disertai empat parti gabungan PKR,DAP, AMANAH dan Bersatu.

Pas sebagai parti politik kini bergerak sendirian di Selangor apabila telah memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR dan DAP yang dipersetujui ketika didalam PR.

9.0
OVERALL SCORE
: 9.0
Have no any user vote