Malaysia Dateline

Jangan samakan hidup mewah anda seperti wanita lain, Wanita PKR bidas anak Zahid

Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyangkal dakwaan anak Presiden Umno Datuk Nurul Hidayah Ahmad Zahid bahawa tiada masalah kemiskinan haid di negara ini.

Exco Wanita PKR Pusat Napsiah Khamis membidas kenyataan Nurul Hidayah supaya jangan menyamakan kehidupan mewahnya seperti wanita-wanita lain.

“Adakah Nurul menyamakan kehidupan mewahnya sama seperti wanita-wanita lain? Adakah kemiskinan itu satu perkara yang perlu ditertawakan?” soal beliau.

Beliau yang juga Presiden Ngo Bidadari sudah lama menjalankan kempen kemiskinan haid dalam negara ini dan menyifatkan isu ini perlu diberi perhatian sebaiknya.

“Malah kami telah melancarkan laman web untuk kempen ini di www.heartscharity.org.

“Bagaimana Nurul masih lagi mengatakan tiada masalah kemiskinan haid berlaku di negara ini?” katanya lagi.

Beliau turut mendedahkan kisah-kisa yang pernah dialami oleh wanita-wanita di negara ini yang jelas berhadap dengan kemiskinan haid.

Hasil daripada kempen yang dijalankan, pihaknya mendapati ramai wanita gelandangan menggunakan tisu di tandas awam atau kain di dalam tong sampah.

Tambahnya, untuk menjimatkan kos membeli tuala wanita ada juga kembali ke zaman 20 tahun lalu dengan menggunakan kain batik atau baju-baju lama semasa haid.

“Remaja perempuan tidak pergi ke sekolah kerana tiada tuala wanita.

“Wanita susah tidak ganti tuala wanita semasa haid untuk jimatkan penggunaan, seharian sanggup memakai tuala wanita yang sama,” katanya lagi,

Terdahulu, Nurul Hidayah mengatakan bahawa tuala wanita di Malaysia adalah murah dan tiada isu Kemiskinan haid di Malaysia.

Nurul Hidayah membuat kenyataan itu di Instagramnya ketika menjawab komen salah seorang pengguna yang membangkitkan mengenai wujudnya wanita tidak berkemampuan yang sanggup mengandung berulang kali bagi mengelakkan datang bulan.

“Saya sedar mengenainya (mengandung untuk mengelakkan datang bulan), tapi bukan di Malaysia. Mana ada pad (tuala wanita) harga kayangan pun,” kata Nurul Hidayah.