Malaysia Dateline

Jangan sampai Bersatu terkontang kanteng, pesan Dr Mahathir

Wawasan dan cita-cita Bersatu untuk menjadi parti Melayu yang menggantikan Umno gagal apabila parti itu bekerjasama dengan parti itu ketika membentuk kerajaan yang dinamakan Perikatan Nasional (PN), kata Pengerusinya Tun Dr Mahathir Mohamad.

Berucap sempena sambutan dua tahun Pakatan Harapan pada 9 Mei hari ini, Dr Mahathir berkata, Bersatu terperangkap dalam satu suasana yang tidak betul dan penuh dengan penipuan apabila membentuk kerajaan bersama Umno.

“Janji (Tan Sri) Muhyiddin (Yassin) untuk menubuhkan satu gabungan dengan Umno dan Pas sebenarnya tidak wujud kerana Perikatan Nasional ini tidak berdaftar,” dakwa Dr Mahathir.

Ini kerana, kata Dr Mahathir, tidak pernah wujud gabungan dalam Perikatan Nasional tetapi hanya untuk menubuhkan kerajaan sahaja.

Ia dapat dibayangkan apabila berlaku pilihan raya umum akan datang di mana Umno tidak pernah memberikan sebarang janji untuk untuk menyokong Bersatu bahkan akan bertanding di semua kerusi biasa mereka.

“Apabila datangnya pilihan raya, Bersatu berharap Umno tidak akan mencabar di kawasan-kawasan yang Bersatu bertanding. Tetapi Umno berkata mereka akan bertanding di semua kawasan biasa mereka termasuk yang diduduki oleh Bersatu sekarang termasuk di kawasan wakil rakyat Bersatu yang keluar dari Umno.

“Jadi apa kedudukan Bersatu. Di satu pihak mereka tidak dapat sokongan Umno, di satu pihak lain mereka tidak dapat sokongan parti PH.

“Jadi tinggal Bersatu ini terkontang kanteng, tiada daratan. Tidak tahu di mana mahu tinggal. Dan sudah tentu jika ada pilihan raya, tidak mungkin Bersatiu kekalpun, besar kemungkinan Bersatu akan kalah teruk,”kata bekas perdana menteri itu.

Apabila itu berlaku, katanya, harapan orang Melayu untuk menggantikan Umno dengan partti Melayu yang lain akan hilang.

“Kita harus ingat, kita tubuh Bersatu bukan sebagai parti campuran, seperti parti-parti lain. Kita tubuh Bersatu untuk orang Melayu dan Bumiputra. Sebabnya, Umno tidak lagi mengutamakan Melayu dan Bumiputra. Itu sebab kita tubuh Bersatu.

“Bila kita hancurkan Bersatu, kerana tindakan Umno, maka hilanglah parti Melayu uang berhasrat berjuang untuk bangsa, negara dan agama kerana Umno bukan lagi macam itu. Umno sekarang ini hanya berjuang untuk Datuk Seri Najib tetapi kita terjebak kerana tidak diberitahu,” kata Mahathir dalam ucapan itu.

Sehubungan dengan itu, Dr Mahatahir berharap sempena ulang tahun kedua kemenangan Pakatan Harapan ini ahli-ahli Bersatu berfikir dengan mendalam sebab apa mereka menyertai Bersatu.

“Mereka sertai Bersatu kerana mereka tidak percaya lagi kepada Umno tetapi sekarang mereka dirangkum masuk dengan cara tidak betul, dengan penipuan supaya Umno sekarang menjadi sebahagian kerajaan.

“Inilah yang sedang berlaku. 9 Mei ini, fikir-fikirlah dengan mendalam,” kata Mahathir.