Jangan sampai isu PTPTN jatuhkan kerajaan PH, kata Syed Saddiq

Jangan sampai isu PTPTN jatuhkan kerajaan PH, kata Syed Saddiq

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menjelaskan isu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) perlu dikendalikan dengan baik.

Katanya, jika suara dan pandangan daripada anak muda tidak diambil peduli, ia boleh menjatuhkan kerajaan PH.

“Sebab itu bila PTPTN buat pengumuman mengenai mekanisme baharu berkaitan pembayaran balik pembiayaan, saya nyatakan ia perlu dibawa ke mesyuarat jemaah menteri.

“Isu PTPTN ini antara faktor bawa PH menjadi kerajaan. Jangan sampai ia bawa kerajaan jatuh kerana isu ini,” katanya dalam Bicara Minda Sinar Harian, hari ini.

Beliau berkata, isu utama bagi belia hari ini adalah berkaitan kos sara hidup.

“Bila saya nak jawab soalan mengenai anak muda, saya perlu bekerjasama dengan semua kementerian yang ada.

“Jadi di pihak kementerian saya, kita akan mendegar pandangan anak muda dan cuba lakukan yang terbaik dengan kerjasama kementerian lain,” katanya dipetik Sinarharian.com.

Dalam perkembangan sama, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik dalam kenyataan terbaharunya hari ini memaklumkan mekanisme pembayaran baharu PTPTN akan ditangguhkan.

Maszlee berkata, penangguhan berkenaan adalah bagi mengambil kira keperluan untuk diadakan sesi libat urus dengan pelbagai pemegang taruh.

Katanya, PTPTN perlu menghargai perjanjian ujrah yang ditandatangani dengan para peminjam sebelum ini dan tidak harus mengenakan skim baharu ke atas kesemua peminjam sekali gus, terutama bagi mereka yang telah pun menyatakan komitmen untuk membuat bayaran setiap bulan tanpa melibatkan potongan gaji.