Malaysia Dateline

Jangan sampai kamu jadi bangsa tidak ada tanah air, kata ulama Pas

Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama Pas Pusat, Mokhtar Senik hari ini membangkitkan soal persengketaan bangsa sehingga mengaitkannya dengan kehilangan tanah air.

Tanpa menjelaskan perincian pendapatnya dalam hantaran di Facebook, kenyataan Mokhtar itu muncul ketika hubungan Bersatu dan Pas dengan Umno semakin panas menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

“Senjata tajam jika selalu diasah ia akan tajam. Begitu juga persengketaan. Jika selalu dipanaskan maka ia akan membara dan terbakar hangus.

“Selemah apa pun bangsa itu, jika ia bersatu mereka akan kuat. Manakala sekuat mana pun satu bangsa itu jika bercerai dan terbelah, mereka akan lemah,” katanya.

Terdahulu, Bersatu dan Pas mengingatkan Umno bahawa sokongan yang diberi terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri adalah sokongan bersyarat.

Bagaimanapun, Umno kemudiannya mencabar Bersatu dan Pas supaya menarik sokongan terus, tanpa perlu ugut-mengugut.

Malah, Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi Umno sebelum ini dilihat yakin mampu membentuk kerajaan sendiri tanpa bergabung dengan mana-mana pihak.

Mokhtar yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat menyifatkan mungkin ada hikmah lain yang disediakan Allah untuk umat Islam di negara ini.

“Namun, ingatlah wahai bangsaku. Jangan sampai kamu menjadi bangsa yang tidak ada tanah air atau kamu masih punya tanah air tapi kuasanya berada di tangan org lain,” tambah Pengerusi Pertubuhan Muafakat Pondok Semalaysia itu lagi.