Malaysia Dateline

‘Jangan sampai orang tahu Pas sudah bankrap modal politik’

Pengarah Hal Ehwal Syariah AMANAH, Ustaz Zolkharnain Abidin mempersoal kewajaran Pas untuk meneruskan himpunan membantah ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi (ICERD) pada 8 Disember depan.

Menurutnya, rancangan Pas bersama Umno untuk himpunan yang dirancang diadakan di Dataran Merdeka itu hanya menggambarkan parti diterajui Datuk Seri Abdul Hadi tersebut sudah tiada modal politik.

“Sudah ada kenyataan ICERD tidak akan diratifikasi. Tapi pentaksub Pas tetap gedebang gedebung ajak orang ramai demo tolak ICERD.

“Nak demo silakan. Nak sertai Umno silakan. Nak jual kemeja-t silakan. Tapi nak bantah juga untuk apa?

“Janganlah sampai orang tahu Pas sudah bankrap modal politik. Benda dah selesai pun nak bising lagi,” katanya dipetik dari Facebook beliau hari ini.

Menurutnya, Pakatan Harapan (PH) boleh sahaja memanipulasi isu perobohan sebuah rumah warisan bercirikan seni bina Melayu tradisional di Kampung Tanjung, Kuala Terengganu semalam demi kepentingan politik.

“Tapi politik orang PH tidaklah sebankrap politik pentaksub Pas,” tegasnya.

Sehubungan itu, Zolkharnain mengibaratkan sikap Pas berhubung himpunan ICERD tersebut seperti orang nyanyuk.

“Anaknya dah suap nasi pun, dia beritahu tetamu dia belum makan lagi,” sindirnya lagi.

Pada 17 November lalu, Pas mengumumkan untuk menganjurkan satu himpunan besar-besaran bagi membantah ICERD di ibu negara dengan turut bakal dihadiri Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.