Malaysia Dateline

Jangan sebab nak kawal Covid-19, rakyat mati kelaparan

Kerajaan diingatkan agar bersikap dengan lebih cerdik  dan jangan disebabkan hanya mahu memastikan Covid-19 tidak menular, rakyat menanggung kelaparan.

Ketika bertemu dengan mangsa saman RM50,000 kerana tidak mematuhi SOP (gambar atas),  Ketua Pemuda AMANAH Kelantan, Hazmi Hassan  berkata, tiada siapa yang mahu melanggar undang-undang, namun kerajaan perlu bertimbang rasa dan menyediakan satu panduan untuk peniaga kecil boleh berniaga menambah pendapatan mereka.

“Saya mewakili peniaga. Banyak aduan peniaga yang saya dengar. Mereka ini berniaga untuk sara anak bini, bayar bil elektrik dan langsung tak mengharapkan bantuan kerajaan.

“Tapi kita mengharapkan kecerdikan kerajaan. Kerajaan kena cerdik, fikir molek. Hanya kerana nak pastikan Covid-19 tiada, hujung sekali rakyat mati kelaparan,” katanya dalam saluran YouTube semasa menemu bual seorang peniaga burger,  Wan Mohd Faizal Wan Kadir, 38,  yang dilaporkan telah dikompaun sebanyak RM50,000.

Pada masa sama Hazmi yang juga dikenali sebagai Jeming berkata, pihak kerajaan negeri diharap dapat berbincang dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) supaya peniaga-peniaga kecil dapat berniaga pada waktu malam dengan sop tertentu yang perlu dipatuhi.

Tegasnya, individu yang menerima gaji bulanan juga mengakui terkesan dengan Covid-19, apatah lagi untuk sesetengah pihak yang hanya mengharapkan hasil jualan sendiri.

Wan Mohd Faisal bersama isterinya mengakui kecewa bagaimana pegawai polis yang mengeluarkan notis kompaun kepada mereka, tidak mengendahkan rayuannya agar kompaun tidak dikenakan.

Mohd Faisal yang menjalankan perniagaan itu di hadapan rumahnya di Kampung Rambutan Rendang, memaklumkan didatangi beberapa anggota polis ketika menyiapkan tempahan pelanggan pada jam 11.10 malam.

Katanya, pihak polis kemudiannya mengeluarkan kompaun RM50,000 bagi kesalahan berniaga melebihi had masa dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).

Pasangan tersebut juga mengakui terkilan dengan tindakan berkenaan kerana mereka hanya bergantung pada hasil jualan burger untuk menampung kewangan keluarga.