Jangan sekadar ‘cakap kosong’ bela bekas tentera

Jangan sekadar ‘cakap kosong’ bela bekas tentera

Kerajaan perlu menjelaskan mengapa masalah kelewatan pembayaran caruman kepada pesara tentera berlaku tahun lalu sehingga mengambil masa berbulan-bulan dan apakah langkah-langkah yang diambil untuk menyelesaikan pelbagai masalah yang dihadapi para veteran tentera.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Nik Nazmi Ahmad berkata, beliau  mengambil maklum kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bahawa kerajaan tidak akan melupakan jasa dan pengorbanan pesara tentera.

Malah tambah beliau, Najib memaklumkan kerajaan telah membelanjakan kira-kira RM3.28 bilion untuk kebajikan pesara tentera dalam pelbagai aspek.

“Tetapi bagi saya, tidak kiralah di mana masalah sama ada di peringkat Urusan Gaji Angkatan Tentera (UGAT) atau Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), pembayaran caruman kepada pesara perlu dilakukan mengikut jadual ditetapkan lebih-lebih lagi semua juga maklum Pengerusi LTAT ini dibayar gaji yang lumayan setiap bulan untuk menjaga kebajikan veteran tentera.

“Najib dan Menteri Pertahanan Hishamuddin Hussein Onn sebagai keluarga bangsawan mungkin tak memahami jerih perih veteran tentera.

“Sudah menjadi tanggungjawab Menteri Pertahanan sepatutnya untuk menyelesaikan sebarang masalah pentadbiran di antara LTAT dan UGAT yang melambatkan pembayaran,” ujar beliau.

Menurut Nazmi, masalah dihadapi veteran tentera harus dikaji dengan teliti oleh pihak berwajib kerana ia bukan sahaja meresahkan pesara tentera tetapi juga anggota yang sedang berkhidmat dan orang awam.

Anggota tentera yang sedang berkhidmat, ujarnya akan melihat dan mendengar masalah yang dihadapi rakan-rakan pesara dan membuat kesimpulan mereka bakal menerima nasib yang sama setelah besara.

“Apabila ini berlaku, sudah tentu moral dan semangat juang anggota tentera  menjadi luntur,” katanya.

Ahli Exco Kerajaan Negeri Selangor itu juga meminta kerajaan untuk memperkenalkan lebih banyak program latihan bagi membantu kebajikan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) supaya hari tua mereka tidak sia-sia dan melarat selepas pelbagai pengorbanan dan perjuangan mereka lakukan kepada negara ini.

Kerajaan Pakatan Harapan Selangor, katanya telah memberi sumbangan RM1 juta kepada veteran ATM dalam Belanjawan 2017, selain membolehkan veteran meminjam skim mikrokredit Hijrah serta program kemahiran untuk veteran tentera.

“Jelas sekali, Pakatan Harapan mengutamakan veteran sedangkan Kerajaan Persekutuan mengabaikannya,” ujarnya.