Jangan sekali-kali kompromi dalam isu pengganas

Jangan sekali-kali kompromi dalam isu pengganas

Dalam isu melibatkan keselamatan negara, tidak harus ada seorang pun rakyat dalam negara yang berdaulat ini berkompromi atau bersubahat, malahan bekerjasama dengan individu maupun kumpulan yang berpaksikan keganasan.

Demikian disarankan oleh Ketua Armada Bahagian Bagan, Sayyid Mohammed Mubarak.

Jelasnya lagi, isu yang menggemparkan negara baru-baru ini melibatkan pimpinan parti politik yang dilucutkan pertuduhan amat mengejutkan seluruh tanah air ketika mana Perdana Menteri baru sahaja mengumumkan untuk membuat pindaan terhadap SOSMA.

“Apa yang terjadi menggemparkan seolah-olah terdapat tangan-tangan ghaib yang cuba campur tangan dalam tindakan pihak berkuasa.

“Lebih menghairankan pada peringkat awal PDRM telah pun membuat tangkapan untuk siasatan berlandaskan bukti-bukti bahawa terdapat kerjasama individu tertentu dalam negara ini dengan pengganas LLTE.

“Paling mendukacitakan apabila ia mempamirkan sikap ‘double standard’ apabila kes yang melibatkan pengganas dan mengancam keselamatan negara, ” tegasnya lagi.

Malah kata Sayyid, jika dilihat secara kasar sudah begitu ketara wujudnya campur tangan pimpinan politik secara terus.

“Harus diingatkan jawatan Peguam Negara adalah berlandaskan lantikan politik oleh kerajaan semasa.

“Manakala mereka yang ditahan dan dituduh tersebut turut mempunyai kedudukan dan mempunyai jawatan dalam parti kerajaan kini.

“Sejajar dengan itu, kerajaan perlu lebih tegas dan konsisten apabila isu yang melibatkan keselamatan negara seperti isu LTTE, ” ujarnya.

Menurut beliau, kerajaan yang melaung-laungkan slogan Malaysia Baharu perlu menyedari bahawa rakyat kini sedang memerhati setiap tindakan dan keputusan yang dibuat.

Tambahnya, sokongan yang telah diberikan oleh rakyat dalam pilihan raya umum ke 14 yang lalu adalah untuk mereformasikan segala yang pincang kepada lebih baik dalam segala aspek dan tidak harus disia-siakan.

“Kita tidak harus tunduk dan takut dengan mana-mana pihak terutamanya pemimpin parti kerana ini melibatkan maruah negara serta integriti.

“Sejarah tidak harus dilupakan apabila Siti Aisyah dipenjara selama 5 tahun kerana memiliki bahan berkaitan ISIS/DAESH, sedangkan 2 pertuduhan memiliki bahan LTTE dibatalkan tanpa sebarang sebab.

“Sehubungan itu, adalah disarankan supaya tindakan dan keputusan yang lebih tegas dan berintegriti diambil terhadap mereka yang terlibat dalam isu ini termasuklah mencari sehingga ke lubang cacing supaya fahaman pengganas tidak terus tersebar dalam negara ini,” gesa beliau lagi.