Malaysia Dateline

Jangan sekat ‘ruang demokrasi’ untuk calon sampaikan maklumat terus kepada rakyat

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia peringkat negeri diharapkan dapat terus bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) agar penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dapat dilaksanakan dengan lebih baik.

Pengerusi Pakatan Harapan Melaka, Adly Zahari berkata, oleh kerana ruang-ruang himpunan dan ceramah sepanjang tempoh berkempen tidak dibenarkan, SPR diharap tidak menyekat para petugas pilihan raya menyampaikan bahan bacaan dan risalah-risalah kepada penduduk Melaka.

Menurutnya, ini satu-satunya peluang yang ada untuk menyampaikan maklumat tentang latar belakang calon, maklumat pendidikan dan pengalaman mereka dalam kepimpinan yang boleh dinilai masyarakat.

“Saya harap SPR dapat terus bekerjasama dengan KKM agar penguatkuasaan ini dapat dilakukan dengan lebih baik dan teratur supaya demokrasi di negeri ini dapat dilakukan dengan lebih subur.

“Kalau kita mahu memilih pemimpin yang boleh beri perkhidmatan kepada rakyat sebelum tempoh pemilihan, maka rakyat harus diberikan peluang menilai dan mengenali latar belakang pemimpin itu. Baru mereka boleh buat pilihan tepat. Sebab itu kita harus berikan ruang demokrasi ini.

“Saya harapkan SPR di peringkat negeri terus bekerjasama dengan KKM bagi memastikan bahawa SOP ini boleh memberikan ruang demokrasi kepada rakyat terutama calon untuk sampaikan maklumat,” katanya dalam satu rakaman video yang disiarkan di Facebooknya malam tadi.