Malaysia Dateline

Jangan sembunyi jika disahkan positif COVID-19

Presiden AMANAH Mohamad Sabu menyeru kepada seluruh pimpinan dan ahli-ahli AMANAH yang disahkan positif COVID-19 agar tidak menyembunyikan maklumat tersebut.

Kataya, ia penting bagi mengelakkan orang ramai daripada dijangkiti penyakit ini akibat berinteraksi dengan mereka.

Dalam masa yang sama katanya bagi pihak yang disahkan positif Covid 19 juga hendaklah mematuhi segala arahan dan peraturan yang diputuskan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) khususnya pegawai-pegawai perubatan yang merawat mereka.

“Semoga dengan kerjasama yang dilakukan ini dapat membantu pihak Kementerian Kesihatan untuk mencegah penularan wabak ini dengan sebaiknya,” katanya dalam satu kenyataan.

Penularan wabak COVID-19 hari ini semakin menggusarkan banyak pihak dengan peningkatan kes sehingga mencecah angka tiga digit setiap hari.

KKM melaporkan terdapat 354 kes baharu telah dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 14,722 kes.

Hari ini sebanyak enam kematian telah direkodkan, 68 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 25 kes memerlukan bantuan pernafasan.