Malaysia Dateline

Jangan sensasi jenayah golongan agama: Awan kesal kenyataan timbalan menteri

Wanita AMANAH (Awan) mengecam sikap Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Ahmad Marzuk Shaary yang meminta media agar tidak mensensasikan kes jenayah yang melibatkan golongan agama.

DR HAFIDZAH MUSTAKIM

Ketua Awan Kelantan, Dr Hafidzah Mustakim dalam kenyataannya berkata, reaksi seperti ini adalah amat mengecewakan kerana ia dilihat sebagai satu cubaan melindungi penjenayah hanya kerana status mereka bergelar agamawan.

“Di manakah pembelaan terhadap mangsa, wanita atau lelaki yang biasanya mengalami trauma yang mendalam akibat jenayah yang berlaku ke atas mereka,” kata beliau dalam satu kenyataanya membalas kenyataan Ahmad Marzuk itu.

Marzuk dalam satu kenyataannya di Kelantan meminta agar isu jenayah di kalangan golongan agama ini tidak disensasikan.

“Nasihat saya kepada semua pihak supaya tidak mensensasikan isu ini kerana ia membabitkan soal kepentingan dan keyakinan masyarakat kepada agamawan dan institusi agama itu sendiri,” katanya kepada media selepas Majlis Pengagihan Bantuan Musim Tengkujuh kepada Nelayan dan Petani di DUN Panchor, Kelantan.

Antara yang tahan dan dibawa ke mahkamah kerana didakwa terlibat dalam jenayah seksual adalah seorang penceramah Pas dan juga seorang pendakwah selebriti.

Kata Dr Hafidzah, Awan melihat ini bertentangan dengan prinsip keadilan sebagaimana yang pernah disabdakan Nabi SAW menerusi sabda Baginda yang bermaksud:

“Sesungguhnya telah binasa golongan-golongan terdahulu kerana membiarkan golongan mulia (atasan) yang mencuri daripada dihukum, sedangkan jika golongan marhaen (rakyat bawahan) mencuri, mereka dihukum dengan hukuman hudud. Aku bersumpah dengan nama Allah, sekiranya Fatimah Binti Muhammad mencuri nescaya aku sendiri yang akan memotong tangannya.” Riwayat Tirmizi

“Tidak dinafikan secara prinsipnya seseorang itu tidak dikira bersalah selagi tidak dibuktikan oleh mahkamah bahawa dia bersalah dan ini terpakai untuk semua kes bukan hanya untuk agamawan.

“Namun ada beberapa prinsip lain yang tidak kurang penting seperti pencegahan lebih baik dari merawat dan tidak boleh memudaratkan diri sendiri dan orang lain yang perlu diambil kira,” kata beliau.

Katanya, dalam kes-kes jenayah seksual membabitkan agamawan dan selebriti yang mengajar dan menjadi ikutan ramai, pihak berkuasa perlu bertindak lebih tegas melakukan usaha mencegah mereka daripada membahayakan dan menjadi ikutan masyarakat awam.

“Perbuatan mereka tidak ubah seperti harapkan pegar, pegar makan padi,” katanya.

Justeru Awan Negeri Kelantan menggesa agar pihak berkuasa mengambil langkah tegas menggantung tauliah mengajar agamawan yang dituduh terlibat dengan jenayah seksual sehingga siasatan selesai dijalankan.

“Adalah lebih baik kita tidak defensif bila berhadapan isu jenayah seksual yang semakin meruncing dalam masyarakat.
“Sebaliknya marilah kita berganding bahu mengemukakan langkah konkrit pencegahan dan perawatan termasuk rehabilitasi penjenayah dan pemandiri jenayah seksual.

“Semoga kita dapat menghentikan jenayah seksual sekaligus melahirkan masyarakat sejahtera yang percaya kepada Tuhan, menjaga kesopanan dan kesusilaan,” kata beliau.
Dalam kenyataan itu, Hafizah dan Awan juga prihatin dan amat bimbang dengan berita peningkatan 46% jenayah seksual di Negeri Kelantan pada tahun 2020 sebagaimana di laporkan Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat semalam.

Beliau berkata rekod jenayah rogol tahun 2020 mencatatkan 108 kes iaitu meningkat sebanyak 34 kes daripada jumlah 74 kes pada tahun 2019.

Lebih menjolok mata apabila jenayah ini membabitkan pasangan kekasih bawah umur, sumbang mahram, seks di luar tabi’e dan ada yang melibatkan golongan berpendidikan agama tinggi, katanya.