Jangan seronok diberi jawatan, pesan Asmuni

Jangan seronok diberi jawatan, pesan Asmuni

Pengerusi AMANAH Perak, Asmuni Awi menasihatkan ahli supaya tidak berebut menjelang pemilihan parti itu dan hanya menjadikan jawatan sebagai batu loncatan untuk menjadi ahli majlis dan calon pilihan raya.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi itu, hal itulah yang sebenarnya berlaku pada Umno sehingga membawa kepada kejatuhan parti itu tahun lalu daripada terus memegang tampuk kuasa di Putrajaya.

“Jangan kita suka-suka dan seronok apabila diberi jawatan. Jawatan yang digalas adalah dengan amanah dan kewajipan.

“Kalau itu (jadi ahli majlis dan calon pilihan raya) sasaran kita, kita bimbang kita menjalankan tugas dengan mengkesampingkan kepentingan parti dan rakyat.

“Ini sebenarnya yang berlaku pada Umno. Banyak program Umno buat tetapi salah pelaksanaaan, terlalu banyak ketirisan dan kepentingan peribadi dalam setiap program. Maka rakyat menghukum parti itu,” ujarnya.

Asmuni berkata demikian ketika merasmikan Konvensyen Tahunan Pemuda AMANAH Perak kali ketiga di Tower Regency Hotel, Ipoh petang tadi.

Hadir sama Ketua Armada Bersatu Perak, Mohd Hafez Mubin Mohd Salleh, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Perak, Mohamad Hairul Amir Sabri dan Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Perak, Steven Chaw.

Sehubungan itu, Asmuni mengingatkan agar ahli AMANAH turun menyantuni rakyat sekiranya menganggotai pihak berkuasa tempatan (PBT).

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan negeri itu juga menegur sikap mengasingkan kerajaan dan parti.

“Jangan bercakap soal tender dan sibuk menjaga kerajaan bukan parti. Kita berada di sini kerana parti yang meletakkan kita di sini.

“Jangan ada yang berfikiran kerajaan adalah kerajaan, parti adalah parti. Parti tidak boleh menentukan apa tindakan kerajaan. Jangan.

“Sebab, rakyat memilih kita kerana dasar dan perjuangan parti,” tegas Asmuni lagi.