Malaysia Dateline

‘Jangan sesekali carikkan silaturahim, sentiasa jaga perpaduan sesama anggota parti’

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengingatkan supaya anggota parti komponen Pakatan Harapan (PH) itu mengelak daripada bersengketa sehingga memutuskan silatuturrahim.

Calon Timbalan Presiden PKR itu juga berkata, amalan demokrasi sudah menentukan bahawa ada pemimpin yang terpilih dan sebaliknya dalam pemilihan parti kali ini.

“Jangan sesekali carikkan silaturahim. Sentiasa jaga perpaduan sesama anggota parti. Insya-Allah KEADILAN (PKR) akan terus kuat,” katanya menerusi Facebook, malam tadi.

Beliau berkata demikian susulan keputusan tidak rasmi yang dikeluarkan Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) parti yang menyaksikan pesaingnya, Rafizi Ramli mendahului bagi merebut jawatan Timbalan Presiden PKR.

Sehubungan itu, Saifuddin yang juga Ahli Palimen Kulim Bandar Baharu merakamkan ucapan tahniah kepada Rafizi juga calon Naib Presiden, Nik Nazmi Nik Ahmad dan calon Naib Presiden, Chang Li Kang.

“Biarpun belum dikira keputusan rasmi, namun saya telah mengutus ucap tahniah kepada Rafizi Ramli, Nik Nazmi, Chang Li Kang dan lain-lain pemenang.

“Syabas juga diucapkan kepada semua yang terpilih Ketua Cabang, Amk dan Wanita Cabang dan Jawatankuasa,” katanya.

Rafizi ketika berucap pada Majlis Hari Raya Aidilfitri 2022 di Dewan Orang Ramai Taman Dusun Nyior, Ampangan, Seremban.

Dalam masa sama, Saifuddin yang juga bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkata, sikapnya mudah dan jelas serta menghormati keputusan yang dibuat anggota parti.

“Tugas saya masih tertumpu kepada penganjuran Kongres Nasional pada Jun ini. Kongres masih perlu berlangsung dengan tertib dan mengikut peraturan sesuai Akta Pertubuhan 1966,” katanya.

Menurutnya, kira-kira 3,000 perwakilan akan memilih 20 Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dan Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal mempunyai barisan kepemimpinan yang lengkap.

“Tugas saya bernoktah di situ. Tugas seterusnya…kepemimpinan baharu mempersiapkan parti untuk mendepani Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15). Syabas dan tahniah kepada semua,” katanya.

Dalam pemilihan kali ini, mana-mana calon yang melepasi jumlah 73,667 daripada 147,334 undi atau melepasi 50 peratus khususnya bagi perebutan jawatan Timbalan Presiden PKR, boleh dianggap menang.

Setakat malam tadi, Saifuddin memperoleh sebanyak 47,986 undi dengan menguasai Sabah dan Perlis manakala Rafizi mendapat undi terkumpul sebanyak 66,359 selepas menang di Selangor, Melaka, Kelantan, Johor, Pahang, Kedah dan Negeri Sembilan.

Rafizi yang sebelum ini menceburi bidang berkaitan kepintaran buatan (AI), pembelajaran mesin dan Internet of Things (IoT) itu juga menang di Pulau Pinang, Perak, Wilayah Persekutuan dan Terengganu.

Baca Cabaran pimpinan baru PKR sangat besar menuju PRU15

Baca Pekerja di pejabat berasa ‘kurang berhubung’ berbanding mereka yang bekerja dari rumah