Jangan sia-siakan darah dan air mata rakyat Palestin, seru Raja Bahrin

Jangan sia-siakan darah dan air mata rakyat Palestin, seru Raja Bahrin

Pertumpahan darah yang berlaku di Palestin khususnya di Gaza ekoran konflik terbaru yang tercetus di wilayah yang diduduki Israel itu patut mendapat perhatian negara-negara Islam dan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC).

Malah sikap membisu negara-negara umat Islam terhadap nasib yang menimpa rakyat Palestin di ambang Ramadan sesuatu yang memalukan dan merendahkan maruah umat Islam sedunia, kata Pengerusi Biro Antarabangsa AMANAH Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah.

“Sempena Peristiwa Nakbah bagi mengingati perampasan tanah Palestin, perhimpunan rakyat yang dianayai telah mengorbankan 60 jiwa lagi oleh tentera rejim Yahudi Israel. Hampir 3,000 orang lagi tercedera oleh tembakan tentera Zionis Yahudi yang bertindak ganas dan kejam,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, ketika umat Islam sedang mencari ketenangan di bulan Ramadan, rakyat Palestin sekali lagi menghadapi pergolakan dahsyat berhadapan keganasan tentera Zionis Israel yang di sokong Amerika Syarikat.

Malah katanya, beberapa hari sebelum itu Amerika Syarikat telah memindahkan secara rasmi kedutaannya dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis.

Beliau kesal dua insiden ini dipandang sepi OIC dan negara-negara Arab yang menjadi sekutu Amerika Syarikat khususnya Arab Saudi.

“Dimanakah semangat dan sikap solidariti serta ukhwah sesama Islam di ambang Ramadan yang mulia ini?” soal beliau.

Raja Bahrin juga menuntut kerajaan Pakatan Harapan agar tidak meneruskan dasar dan sikap pentadbiran BN sebelum ini yang semakin lunak terhadap Israel sehingga membenarkan delegasi Israel masuk ke negara ini.

Malah perdagangan dengan Israel, ujarnya kini mencecah nilai RM6 bilion.

Sehubungan itu beliau mahu kerajaan yang diterajui Pakatan Harapan bersikap lebih bertanggung jawab serta menjiwai roh perjuangan rakyat Palestin.

Raja Bahrin juga menyarankan usul berhubung penderitaan rakyat Palestin dan langkah-langkah bagi membela rakyat Palestin yang tertindas dibahas dan diluluskan pada sesi parlimen akan datang.

“Semoga mengalirnya darah dan air mata umat Palestin saudara Islam kita di ambang Ramadhan Al Mubarak ini akan membawa lagi banyak kesedaran dan keinsafan kepada seluruh umat Islam di Malaysia dan dunia seluruhnya,” ujar beliau.

CATEGORIES
TAGS