Malaysia Dateline

Jangan sisihkan anak OKU, kata Dr Kelvin Yii

Para ibu bapa yang mempunyai anak golongan orang kelainan upaya (OKU) adalah diharapkan tidak menyisihkan mereka untuk bersama-sama menikmati hidup dalam suasana kekeluargaan.

Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii Lee Wuen berkata, sebagai anak yang dilahirkan dalam golongan kelainan upaya, mereka juga berhak untuk dilayani oleh ibu bapa seperti adik-beradik yang lain.

Justeru jelas beliau, tiada istilah bagi pasangan ayah dan ibu untuk menyisihkan mereka daripada menikmati hidup dalam suasana kekeluargaan kerana setiap anak yang lahir merupakan anugerah yang paling bernilai daripada Tuhan.

“Terimalah kehadiran mereka (anak OKU) ini dengan hati yang ikhlas kerana anak-anak ini juga adalah penyeri dalam kehidupan.

“Saya yakin, dengan kasih sayang yang dicurahkan kedua-dua orang tua mereka akan memberikan semangat untuk anak-anak ini menjalani kehidupan seperti orang lain,” katanya.

Dr Kelvin berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Pra Krismas 2019 Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Sentuhan Kasih Kuching di sebuah hotel terkemuka di Kuching malam tadi.

Seramai hampir 350 orang terdiri daripada ibu bapa dan anak OKU hadir pada majlis berkenaan yang turut disertai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun)Padungan,Wong King Wei.

Dr Kelvin turut menggesa agar ibu bapa yang memiliki anak OKU supaya menghantar ke pusat-pusat pemulihan dalam komuniti supaya mereka dapat bergaul dengan kawan-kawan selain membuka minda berinteraksi dengan masyarakat.

“Ibu bapa harus memberi pelajaran kepada mereka seperti anak-anak normal lain agar apabila mereka sudah semakin berusia nanti akan mampu membawa kehidupannya seperti orang lain,” jelasnya lagi.

Pada masa sama, Dr Kelvin turut berkongsi kisah tentang adik beliau yang juga merupakan anak OKU dalam keluarganya.

“Terimakasih kepada para ibu bapa yang ada di sini dan terimakasih juga kepada kedua ibu bapa saya yang telah menjaga adik saya sehingga ke hari ini.

“Bukan mudah untuk ibu bapa menjaga dan memelihara anak-anak ini yang semamangnya diakui memerlukan lebih masa untuk bersama dengan mereka,” katanya dengan nada sebak.

Sebelum mengakhiri ucapannya,beliau telah mengumumkan untuk memberi sumbangan ikhlas kepada seramai 106 anak-anak OKU dan termasuk 18 orang tenaga pengajar PPDK Sentuhan Kasih Kuching sebelum menjelangnya Hari Krismas ini sebanyak RM100 seorang.