Malaysia Dateline

Jangan suka hati halang, Sabah ada kuasa Imigresen sendiri, kata Shafie

Kerajaan Persekutuan diingatkan agar tidak membuat keputusan sesuka hati dalam menghalang mana-mana individu memasuki Sabah, demikian menurut Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Shafie Apdal.

Ini kerana katanya, kerajaan Sabah mempunyai kuasa Imigresen sendiri mengikut Perlembagaan.

Shafie berkata, Lim Guan Eng dihalang masuk ke Sabah semalam atas arahan daripada Imigresen di peringkat Persekutuan.

Beliau berkata demikian merujuk kepada situasi yang terjadi kepada Ahli Parlimen Bagan yang dihalang memasuki Sabah semalam.

Katanya, jika Imigresen Persekutuan menggunakan alasan Guan Eng mempunyai kes SPRM, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak juga terpalit dengan rasuah tetapi beliau langsung tidak dihalang datang ke Sabah.

“Tapi ini satu perkara yang perlu diselaraskan dengan kerajaan negeri, jangan hanya Kerajaan Persekutuan membuat sesuatu keputusan kerana bidang kuasa untuk mengehadkan sesiapa juga masuk ke Sabah, kerajaan negeri ada kuasa…itu bukan daripada segi undang-undang, itu dalam Perlembagaan.

“Saya berharap kena ada kerjasama untuk memastikan susun atur yang ada. Kalau semua ada kes SPRM maka Najib (Datuk Seri Najib Razak) pun tidak boleh masuk, pimpinan lain pun tidak boleh masuk. Jangan peraturan ini hanya kepada satu orang tetapi kepada semua,” katanya sebagaimana dipetik Borneotoday hari ini.

Shafie turut terkejut berhubung situasi yang berlaku terhadap Lim Guan Eng beliau dimaklumkan arahan tersebut dikeluarkan di Kuala Lumpur.

Katanya, Sabah berhak menghalang mana-mana individu untuk masuk ke Sabah jika individu berkenaan mampu mendatangkan kekacauan.

“Jika ada perkara ini (memecah-belahkan atau menyebebkan pertelingkahan) kita akan pastikan mereka tidak dibenarkan masuk ke negeri ini.

“Saya sendiri terkejut dengan situasi yang di lalui Lim Guan Eng (Ahli Parlimen Bagan) dan sudah bertanyakan perkara ini kepada Pengarah Imigresen (Sabah).

“Saya kemudian difahamkan oleh kerana Guan Eng adalah individu yang dimasukkan ke dalam senarai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), jadi mereka nyatakan ini peraturan yang dibuat oleh KL (Kuala Lumpur). Tapi kebiasaannya, kita pun ada peraturan Imigresen sendiri,” katanya.

Mengulas lanjut Mohd Shafie berkata, Kuala Lumpur hanya boleh tentukan contohnya peraturan untuk mana-mana orang yang didapati tidak membayar cukai dan ada kes SPRM, individu itu tidak boleh ke luar negara, dalam negara boleh.

“Tapi bila saya fahamkan, mungkin mereka maklumkan jangan pergi keluar dari Sabah ke luar negara, itu yang difahamkan,” katanya.

Tambahnya, sejak Warisan menerajui kerajaan negeri, tiada mana-mana pemimpin disekat masuk ke Sabah.

“Dulu Tian Chua, Nurul Izzah dan Teressa Kok, tetapi bila saya ambil alih tampuk pemerintahan iaitu dua hari menjadi ketua menteri, saya kecualikan mereka.

“Jangan hanya sekat orang memasuk tapi sekat sekali duit masuk daripada mana-mana pihak khususnya yang mahu membeli undi,” tegas beliau.

Semalam, Guan Eng yang juga bekas Menteri Kewangan dihalang oleh anggota Jabatan Imigresen ketika baru tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).