Malaysia Dateline

‘Jangan suka sangat ke Thailand’-Bekas KPN dedah ramai diculik jadi buruh paksa, pelacur dan jual organ

Jangan suka sangat ke Thailand, itu peringatan Bekas Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Musa Hassan buat mereka di bawah 40 tahun.

Musa Hassan mendakwa mereka akan diculik, dijadikan buruh paksa serta pelacur bahkan organ mangsa juga dijual.

“Rakyat Malaysia jangan tertipu dengan perkara ini, especially mereka yang berumur 40 tahun ke bawah.

“Saya ingin menguar-uarkan perkara ini benar. Jangan kita sendiri-sendiri suka-suka hendak pergi ke negara ini,” tegas beliau dalam video berdurasi satu minit 46 saat itu yang disiarkan menerusi satu akaun Tiktok @malakattribune

Bahkan katanya pihak perdana menteri juga telah beliau pohon untuk membuat langkah pencegahan dengan menghalang mereka yang berumur 40 tahun ke bawah pergi ke negara tersebut.

“Kita war-warkan supaya mereka lebih berhati-hati. Jangan suka sangat pergi ke Thailand kerana mereka boleh diculik kerana bukan sahaja akan dijadikan buruh paksa. Mereka juga akan dipaksa untuk menjual organ-organ mereka, dan menjadi pelacur kalau wanita.”

Justeru beliau berkata, kita sewajarnya perlu memastikan perkara tersebut tidak berlaku kepada rakyat Malaysia.

Berikutan itu beliau memohon pihak kerajaan dan pihak polis untuk mengambil tindakan yang tegas membanteras perkara tersebut.

Musa Hassan yang juga merupakan penasihat Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) telah menghubungi pihak polis ASEAN di mana setiap wakil ASEAN diletakkan di Bukit Aman.

“Saya dapatkan maklumat-maklumat daripada mereka.

“Saya nak tahu siapakah sindiket yang ada di negara kita sendiri, yang mengatur perkara ini supaya mereka dapat ditangkap. Semua mengambil tindakan,” katanya.

Susulan itu, beliau juga akan mengumpul kesemua maklumat yang diterima dan menyerahkannya kepada pihak polis agar tindakan tegas dapat dikenakan ke atas sindiket-sindiket tersebut.

Difahamkan, beliau bersama beberapa wakil NGO lain telah menyerahkan satu memorandum berkenaan sindiket penipuan kerja di luar negara kepada Setiausaha Politik Tiga kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, dipetik The Merdeka Times.

Baca juga: Hanya diarah tukar kelas, seorang guru tak puas hati bertindak letak klorin dalam makanan murid

Baca juga: Tak tahan tanggung hutang, lelaki buat keputusan lari ke landasan kereta api