Malaysia Dateline

‘Jangan susahkan orang susah’

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari menegaskan proses menyalurkan bantuan wang kepada golongan rakyat yang susah perlu dipermudahkan tanpa mengira sokongan parti politik.

Bekas Ketua Menteri itu berkata, kerajaan PH negeri sebelum ini telah membuktikan hal tersebut apabila bantuan kewangan bulanan dimasukkan terus ke dalam akaun bank penerima terbabit.

Tegasnya, langkah itu dibuat bagi memudahkan urusan penerima bantuan yang terpaksa berulang-alik ke pejabat Jawatankuasa Penyelaras dan Pembangunan Dewan Undangan Negeri (Japerun) setiap bulan untuk mendapatkan wang bantuan.

“… susah pergi dapatkan bantuan kebajikan, dia susah dia layaklah. Tak payah berkira. Tidak perlu ambil kira (sokong) parti politik. Itu yang sepatutnya kita buat.

“Saya sudah arahkan semasa kita memerintah 22 bulan dulu, saya tidak benarkan orang susah ini bahkan kadang-kadang uzur, tiap-tiap bulan kena pergi Japerun, ambil RM200, tidakkah menyusahkan mereka?

“Jadi, buka saja akaun, semua dalam Melaka ini, 28,000 orang ketika itu terima duit dalam akaun mereka setiap bulan. Bukankah senang?” katanya.

Bagaimanapun, Adly yang juga Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Melaka berkata, sejurus kerajaan PH negeri ditumbangkan, prosedur pemberian bantuan kembali menyusahkan.

“Inilah birokasi yang kita hendak buang. Kita dah buang. Bila kerajaan kita jatuh, dia (Umno) buat kembali perangai lama,” kata Naib Presiden AMANAH itu lagi.

Untuk rekod, hanya selepas dua bulan PH Melaka memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 2018, pembayaran secara tunai bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dihentikan.

Melaka diterajui Adly ketika itu telah memudahkan penerima terbabit untuk mendapatkan wang bantuan masing-masing apabila menyalurkan terus ke dalam akaun bank penerima mulai Julai 2018.