Ahli Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin menegaskan agihan bantuan kepada rakyat yang dalam kesempitan terutama ketika pandemik Covid-19 perlu dimudahkan.
Beliau berkata, hal tersebut kerap diingatkan kepada pasukannya, Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sepang dalam turun ke lapangan menyantuni orang ramai.
“Saya selalu ingatkan pasukan saya, ‘jangan terlalu sibuk dengan red tapes sangat khususnya sekarang ini apabila rakyat minta tolong kepada kita.
“Cuba permudahkan semudah yang boleh. Red tapes yang terlalu rigid mungkin ‘membunuh’ rakyat bukannya pandemik,” katanya.
Ahli Jawatankuasa Nasional AMANAH turut berkongsikan antara realiti kehidupan rakyat yang dialaminya semalam ketika pasukannya menziarahi beberapa lokasi di kawasan Parlimen diwakilinya.
“Ada satu kisah yang saya rasa mungkin wajar saya kongsi di sini. Kisah ini sangat memberi kesan kepada saya.
“Team saya bertemu seorang ibu tunggal yang mempunyai tiga orang anak dan seorang darinya adalah anak OKU.
“Bagi menyara hidupnya, beliau memandu teksi. Akan tetapi sekarang ini beliau tidak boleh mencari pendapatan dengan bawa teksi kerana beliau tiada wang untuk membayar cukai jalan dan insuran teksi beliau.
“Beliau cakap pada saya, ‘YB teksi pun dah tak berbayar ansuran beberapa bulan. Bil elektrik rumah pun dah cecah seribu lebih (ringgit)’,” katanya.
Oleh itu, Hanipa memohonnya agar menghantar surat bagi tujuan permohonan bantuan.
“Guna kertas tisu pun tak mengapa untuk sekadar rekod kami. Dan insyaAllah kami akan cuba bantu makcik, ya. Makcik jangan risau ya,” katanya mengulang kembali jaminan yang diucap kepada ibu tunggal itu.
Hanipa bagaimanapun berkata, akan berusaha membantu meringankan beban ibu tunggal tersebut.
“Secara jujur saya tidak tahu bagaimana mendapatkan wang. Tetapi saya hanya mahu dia tersenyum.
“Kami akan berusaha sedaya upaya untuk membantunya, insyaAllah. Itulah antara lain realiti kehidupan rakyat di bawah,”cerita peguam itu lagi.