Jangan tahu pandu sahaja, perempuan pun kena tahu setiap lampu amaran dalam kereta

Oleh KIM SYAZIE

Kebiasaannya apabila simbol-simbol yang tertera pada kereta anda secara tiba-tiba menyala, ia memberi amaran bahawa komponen tersebut sedang bermasalah dan perlu diperiksa segera.

Tetapi perlu ke seseorang itu cemas apabila lampu amaran kereta menyala? Jangan risau, jika anda tidak mahu bersikap ‘gelabah’ apabila hari itu tiba, anda perlulah ambil tahu setiap maksud lampu amaran yang menyala di kereta anda.

“Perempuan pun patut tahu. Masa memula pakai kereta aku, Tire Pressure menyala. Kelam kabut aku buka manual book kereta,” ciap seorang pengguna Twitter, Adila Farhana yang berkongsikan imej di bawah ini.

Namun, kami berkongsikan kepada anda secara terprinci apa maksud setiap lampu yang menyala seperti yang dikogsi dari laman Gemar Supercar yang banyak berkongsi pengetahuan tentang kenderaan.

1. Lampu brek tangan

Jika lampu ini menyala, ia menunjukkan bahawa brek tangan pada kereta anda masih digunakan. Tetapi jika brek tangan dilepaskan dan lampu masih menyala, ia menunjukkan bahawa minyak brek kenderaan anda sudah kurang atau terdapat masalah mekanikal pada sistem brek ini.

2. Lampu check engine

Lampu ini menandakan sistem pada kereta ada masalah dalam bahagian enjin. Jika lampu ini menyala dan kenderaan tidak dapat dihidupkan, maka terdapat masalah pada sistem enjin kenderaan anda. Hubungi bengkel pengeluar kenderaan anda untuk proses baik pulih.

3. Lampu bateri

Apabila lampu ini menyala, ini bermakna bateri kenderaan anda telah kehabisan kuasa atau rosak. Gantikan segera dengan bateri yang baru.

4. Lampu ABS

Sistem brek ABS (Antilock Braking System) mempunyai peranti kompleks yang tugasnya adalah untuk mengelakkan roda daripada terkunci apabila membrek.

Jika simbol ini muncul apabila anda menekan brek, ini bermakna sistem ini sedang berfungsi mengawal tayar daripada terkunci semasa sedang membrek.

Tetapi jika lampu ini menyala apabila anda tidak membrek, ini bermakna terdapat masalah pada komponen ABS dan anda harus hantarkan kepada pakar untuk pemeriksaan atau pembaikian.

5. Lampu Traction Control System

Traction Control System (TCS) atau sistem kawalan cengkaman adalah sistem yang bertanggungjawab mengawal tayar anda daripada hilang cengkaman semasa memecut atau menekan minyak di permukaan kurang cengkaman.

Lampu dengan ikon kereta tergelincir ini akan menyala jika TCS dimatikan (secara manual), dan akan berkelip semasa sedang berfungsi.

6. Lampu amaran bahan bakar

Pada sesebuah kereta biasanya terdapat penunjuk jumlah bahan api. Penunjuk bahan api ini hadir dalam beberapa bentuk, antaranya ialah dalam bentuk meter, rajah atau jarum. Tetapi jika bahan api terlalu sedikit dalam kereta anda, lampu amaran ini akan menyala ataupun berkelip.

7. Lampu amaran tali pinggang keledar

Jika lampu amaran ini berkelip, maka ia menandakan bahawa tali pinggang keledar tidak dipakai oleh pemandu atau penumpang dalam kereta.

Biasanya pada sesetengah kereta, jika tali pinggang keledar tidak dipakai dalam masa yang lama, lampu amaran ini bukan sahaja bekelip, malah ia akan diikuti dengan bunyi amaran. 

8. Lampu amaran suhu enjin 

Jika lampu amaran ini warna biru, ia menandakan bahawa suhu enjin tidak cukup panas untuk memulakan operasi. Hendaklah anda memandu perlahan dahulu dan tidak melakukan pecutan mendadak.

Sekiranya lampu warna merah, ia bermakna bahawa tangki radiator dan enjin kereta anda terlalu panas. Jadi, sebaiknya anda perlu segera mematikan enjin kenderaan untuk biarkan ia sejuk atau lakukan pemeriksaan.

9. Lampu amaran aras minyak enjin

Lampu amaran ini bermaksud kuantiti minyak enjin. Sekiranya semasa memandu dan lampu merah pada simbol ini bernyala, ianya bermaksud enjin anda kekurangan minyak hitam/minyak enjin. Tambahkan minyak enjin yang baru sebelum meneruskan perjalanan anda.

10. Lampu amaran EPS (stereng kuasa elektrik)

Lampu amaran EPS (stereng kuasa elektrik) akan menyala jika kunci diputar ke posisi On dan sepatutnya terpadam selepas enjin dihidupkan.

Jika ia masih menyala, ia bermaksud sistem stereng kuasa elektrik mengalami masalah, yang mana petandanya ialah stereng terasa sangat berat untuk dipusingkan.

11. Lampu amaran beg udara SRS

Jika anda dapati lampu amaran SRS menyala, sila bawa kereta anda ke pusat servis pengeluar kenderaan anda yang terdekat kerana lampu amaran ini bermaksud beg udara kereta anda bermasalah.

Jangan ambil risiko kerana beg udara mungkin tidak berfungsi dengan sepenuhnya jika berlaku kemalangan atau lebih teruk lagi, meletup secara tiba-tiba. Bawa kereta anda untuk pemeriksaan secepat mungkin.

12. Lampu amaran pintu kereta

Sebelum memulakan perjalanan, pastikan lampu amaran ini tidak menyala. Lampu amaran ini menandakan bahawa terdapat pintu kereta anda yang masih tidak ditutup dengan rapat.

13. Lampu ECO

ECO adalah singkatan kepada Ekonomi, jadi ini bermakna lampu ini menandakan bahawa pemandu sedang memandu dengan penggunaan bahan api yang lebih efisien.

Baca juga: Tidak tahu apa motif, lelaki melintas jalan dan pura-pura dilanggar

Baca juga: Pemandu lori selamba buang sampah di sungai sudah ditahan