Malaysia Dateline

‘Jangan tak senang tiga jawatan tertinggi Pemuda Pas semuanya ustaz’

Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama Pas, Mokhtar Senik dilihat bangga dengan barisan kepimpinan baharu Dewan Pemuda parti itu bagi sesi 2021 hingga 2023.

Mokhtar yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat itu turut menyertakan poster ucapan tahniah yang terpampang logo Geng Ustaz.

Dia berharap tiada mana-mana pihak “tidak senang” dengan tiga posisi utama dalam sayap Pemuda Pas yang didominasi individu bergelar ustaz.

“Tahniah. Jangan pula ada yang tak senang sebab ketiga-tiga posisi penting ini semua ustaz.
“Dalam Pas ini berapa ramai pemimpin profesional didukung oleh ulamak. Dan berapa ramai pula pemimpin dalam kalangan ulamak didukung oleh golongan profesional.

“Itulah Pas,” kata Mokhtar yang juga pemilik Pondok An- Nuur di Kampung Kuala Penor, Kuantan itu lagi.

Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari, 41, hari ini dipilih sebagai Ketua Pemuda Pas yang baharu menggantikan Senator Khairil Nizam Khirudin, seorang jurutera.

Ahmad Fadhli mendapat 508 undi untuk mengatasi pencabarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kubu Gajah, Khalil Yahaya yang meraih 128 undi.

Seterusnya, jawatan Timbalan Ketua Pemuda Pas dimenangi Afnan Hamimi Taib Azamuddin yang berjaya memperoleh 489 undi bagi menewaskan Ketua Pemuda Wilayah Persekutuan sebelum ini, Farkhan Md Zain.

Afnan Hamimi yang juga Setiausaha Politik Menteri Besar Kedah, adalah Naib Ketua Pemuda Pas sebelum ini.

Jawatan Naib Ketua Pemuda Pas pula dimenangi oleh Hanapi Zulkapli juga bergelar ustaz.

Hanapi yang merupakan Ketua Pemuda Pas Selangor sebelum ini memperoleh 473 undi pada Muktamar Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM) Ke-62 yang berlangsung di sebuah hotel, di Port Dickson.